Dakwaan Kultus Korea Selatan: KDN Tunggu Taklimat Cawangan Khas, Elak Bertindak Atas Spekulasi

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan tidak akan bertindak berdasarkan spekulasi atau maklumat tidak rasmi dalam menangani dakwaan kewujudan satu gerakan kultus berbahaya yang dikaitkan dengan Korea Selatan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau dijadualkan menerima taklimat terperinci daripada Cawangan Khas E2 (Unit Perisikan Sosial) minggu ini bagi menilai tahap ancaman sebenar gerakan tersebut terhadap keselamatan dan keharmonian negara.

Menurutnya, hanya Cawangan Khas mempunyai autoriti untuk menjalankan risikan, mengesahkan maklumat serta menentukan kesahihan dakwaan berkaitan ajaran sesat atau gerakan ekstrem merentas agama.

“Saya akan lebih berhati-hati dan tidak mahu bersandar kepada pelbagai sumber. Maklumat rasmi hanya akan dikongsi selepas menerima laporan lengkap,” katanya pada sidang media KDN hari ini.

Saifuddin menegaskan, tindakan tegas akan diambil sekiranya hasil risikan mengesahkan wujud unsur penyelewengan, manipulasi kepercayaan atau ancaman keselamatan awam.

Sebelum ini, KDN mengesahkan kegiatan berkaitan gerakan berkenaan termasuk penglibatan beberapa tokoh tempatan berada dalam radar pemantauan pihak keselamatan, susulan dakwaan yang dibangkitkan oleh Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

BBerkaitan

Latest articles