Penahanan penulis dan penganalisis bebas Murray Hunter oleh pihak berkuasa Thailand baru-baru ini mencetuskan kontroversi selepas beliau mendakwa ia berpunca daripada tulisannya yang mengkritik kerajaan Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Bagaimanapun, penganalisis politik dan pengamal komunikasi strategik, Mustafa Ali, menyifatkan tuduhan Hunter sebagai tidak berasas dan hanya cubaan membina naratif peribadi yang tidak disokong bukti.
“Hunter ditahan oleh pihak berkuasa Thailand di bawah undang-undang negara itu, bukannya oleh Malaysia. Setakat ini tiada bukti rasmi yang menunjukkan Malaysia meminta atau mendesak penahanannya,” kata Mustafa dalam satu kenyataan hari ini. .
Menurut beliau, Malaysia tidak wajar dipersalahkan kerana proses tersebut berlaku dalam bidang kuasa Thailand.
Malaysia Tidak Pernah Ambil Tindakan Ke Atas Hunter
Mustafa menegaskan, sepanjang tempoh Hunter menulis mengenai Malaysia termasuk kritikan terhadap institusi kerajaan, tiada sebarang tindakan undang-undang pernah diambil terhadapnya.
“Kritikan terhadap kerajaan dan pemimpin Malaysia bukan satu jenayah. Malaysia masih menyediakan ruang demokrasi yang luas — kita lihat pemimpin politik, aktivis NGO, malah tokoh seperti Tan Sri Rafidah Aziz sendiri bebas mengkritik kerajaan,” katanya.
Tindakan MCMC Ikut Undang-Undang
Mustafa juga menolak dakwaan kononnya MCMC bertindak di luar batas undang-undang.
“MCMC terikat kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588). Sebarang pendakwaan mesti mendapat kelulusan Peguam Negara, jadi tuduhan kononnya tindakan itu bermotif politik tidak berasas,” ujarnya.
Tambah Beliau lagi, kebebasan bersuara di Malaysia tidak bermakna bebas memfitnah atau menyebarkan maklumat palsu.
“Setakat ini Hunter tidak mengemukakan sebarang dokumen atau bukti sahih yang menyokong dakwaannya. Tuduhan tanpa asas hanya menjejaskan integriti wacana awam,” tambahnya.
Guna Saluran Betul Jika Dianiaya
Mustafa menegaskan, sekiranya Hunter percaya dirinya menjadi mangsa salah guna kuasa, beliau wajar menggunakan saluran undang-undang atau diplomatik yang sah.
“Membuat kenyataan terbuka tanpa bukti bukan sahaja mengelirukan masyarakat, malah mencemar imej Malaysia di pentas antarabangsa,” katanya.
Menurut Mustafa, kebebasan bersuara datang bersama tanggungjawab dan tindakan penguatkuasaan berlandaskan undang-undang tidak boleh ditafsirkan sebagai penindasan.