Dakwaan DNAA Zahid Dipertikai, AGC Beri Penjelasan

PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) mempertahankan keputusan memohon Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) daripada 47 pertuduhan berkaitan dana Yayasan Akalbudi pada 2023, dengan menegaskan langkah itu dibuat sepenuhnya mengikut peruntukan undang-undang.

Dalam satu kenyataan hari ini, AGC menjelaskan permohonan DNAA yang dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi dua tahun lalu dibuat berdasarkan situasi dan fakta semasa ketika itu, selain mengambil kira keperluan untuk menjalankan siasatan lanjut terhadap kes berkenaan.

Menurut AGC, kenyataan tersebut dikeluarkan susulan laporan sebuah portal berita hari ini yang memaklumkan satu permohonan semakan kehakiman telah difailkan, berhubung keputusan mahkamah pada 4 September 2023 yang mengeluarkan perintah DNAA terhadap Timbalan Perdana Menteri itu.

“Permohonan semakan kehakiman tersebut membangkitkan isu berkaitan perkembangan serta hasil siasatan yang dirujuk ketika permohonan DNAA dikemukakan,” kata AGC, sambil mengakui perkara itu menyentuh persoalan penting berkaitan keyakinan awam serta pentadbiran keadilan.

Bagaimanapun, AGC menegaskan pihaknya tidak akan mengulas lanjut mengenai merit permohonan berkenaan memandangkan isu itu kini berada di bawah pertimbangan mahkamah.

“AGC akan memberi kerjasama penuh kepada proses perundangan, mengendalikan perkara ini melalui saluran undang-undang yang ditetapkan serta mematuhi sebarang arahan atau keputusan mahkamah,” menurut kenyataan itu lagi.

Untuk rekod, pada 4 September 2023, Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan melibatkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan yang memaklumkan hasrat AGC untuk memberhentikan prosiding buat sementara waktu.

Hari ini, media turut melaporkan peguam Datuk Syed Amir Syakib Arsalan Syed Ibrahim memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi, antaranya bagi mendapatkan perintah mandamus yang mengarahkan Peguam Negara serta pendakwa raya menyelesaikan siasatan dan membuat keputusan muktamad berkaitan DNAA tersebut.

Peguam berkenaan menegaskan permohonan itu bukan bertujuan mencabar budi bicara Peguam Negara, sebaliknya untuk memastikan siasatan akhir dijalankan dan keputusan rasmi sama ada meneruskan atau menghentikan pendakwaan dibuat secara jelas dan telus.

Selain itu, beliau turut memohon agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diarahkan memuktamadkan siasatan yang membawa kepada DNAA terhadap Ahmad Zahid, dengan alasan kelewatan berpanjangan boleh mencetuskan persepsi layanan tidak sama rata serta menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.

BBerkaitan

Latest articles