Dakwaan Dikawal Kerajaan, SPRM Buat Laporan Polis

KUALA LUMPUR: Satu laporan polis dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini selepas pentadbiran badan penguatkuasa itu didakwa dikawal kerajaan.

Ini selepas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris telah mengeluarkan beberapa tuduhan palsu dalam ceramah beliau sewaktu majlis pelancaran jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 10 November lalu.

Dakwaan itu kemudiannya disiarkan menerusi aplikasi TikTok atas nama pemilik akaun @wancin11.

“Beliau telah menyatakan bahawa jentera-jentera kerajaan, SPRM dan hakim-hakim dikawal oleh kerajaan semasa, serta mempertikaikan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi berhubung sabitan empat pertuduhan ke atas bekas Menteri Belia dan Sukan.

“SPRM memandang berat fitnah dan tohmahan yang dilemparkan kerana ia boleh menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap sistem penguatkuasaan dan perundangan negara ini,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut, SPRM merupakan badan penguatkuasa yang diperkasakan oleh undang-undang untuk melaksanakan fungsi dan peranan membanteras rasuah dengan bebas dan profesional tanpa dikawal oleh mana-mana pihak.

Minggu lalu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman didapati bersalah ke atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid ketika membuat keputusan itu selepas berpuas hati dan mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan kesnya melampaui tahap keraguan munasabah.

BBerkaitan

Latest articles