Dakwaan ‘Diculik’ Zayn Rayyan Tidak Konsisten – Pendakwaan

PETALING JAYA: Pihak pendakwaan dalam kes pengabaian Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin menghujahkan bahawa dakwaan ibu mangsa, Ismanira Abdul Manaf, kononnya anaknya diculik adalah tidak konsisten dan hanya sengaja ditimbulkan untuk mengaburi kecuaiannya.

Menurut hujah pendakwaan, keterangan menunjukkan Zayn Rayyan hilang pada hari yang sama laporan polis dibuat pada Disember 2023, namun dakwaan penculikan tidak pernah dimaklumkan oleh tertuduh kepada suaminya atau dinyatakan dalam laporan polis.

“Jika benar berlaku penculikan, mengapa itu bukan perkara pertama dimaklumkan kepada suami? Mengapa tidak dicatat dalam laporan polis?” kata pasukan pendakwaan dalam hujahan bertulis mereka yang difailkan pada 1 Oktober lalu.

Pendakwaan menegaskan semua intipati pertuduhan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 telah berjaya dibuktikan, dan memohon mahkamah mensabitkan Ismanira mengikut Seksyen 173(m)(ii) Kanun Prosedur Jenayah.

Walaupun tiada keterangan langsung menunjukkan tertuduh menyebabkan kecederaan kepada anaknya, pendakwaan bergantung kepada keterangan keadaan yang menunjukkan Zayn Rayyan didedahkan kepada risiko kecederaan ketika berada di bawah jagaannya.

Dua saksi kanak-kanak memberitahu, mangsa dilihat berlari sendirian ke arah kebun di belakang Blok R tanpa dikejar ibunya.

CCTV turut menunjukkan tertuduh tidak segera mencari, menjerit atau menunjukkan panik, sebaliknya masuk ke rumah dan menukar pakaian terlebih dahulu.

“Sebagai ibu kepada kanak-kanak autisme, tertuduh sepatutnya memimpin tangan atau memastikan anaknya berada di hadapan, bukan membiarkan di belakang,” kata pendakwaan.

Kes berlaku antara 5 Disember jam 12 tengah hari hingga 9.55 malam keesokannya, di sekitar Blok R Apartment Idaman, Damansara Damai hingga ke kawasan sungai berdekatan.

Ismanira, 30, didakwa mengabaikan anaknya sehingga berkemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi.

Hakim Dr Syahliza Warnoh akan memutuskan pada 31 Oktober ini sama ada tertuduh bersalah atau dibebaskan.

BBerkaitan

Latest articles