Kenyataan seorang peguam bahawa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak diwakili ketika pengurusan kes saman yang difailkan 10 pengundi Gombak terhadap beliau atas dakwaan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari, adalah tidak benar serta mengelirukan.
Peguam Nizamuddin Hamid, yang mewakili Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu, turut menyangkal kenyataan N. Yohendra, peguam pengundi terbabit, bahawa saman itu telah diserahkan kepada Mohamed Azmin pada 1 Disember lalu.
“Saman itu dikatakan telah diserah kepada seorang individu di pusat khidmat masyarakat Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Justeru, ia merupakan pelanggaran peraturan mahkamah secara terang-terangan.
“Writ saman mesti diserahkan mengikut prosedur yang ditentukan dalam peraturan mahkamah. Ini adalah amalan biasa dan kami terkejut apabila beliau dengan begitu cepat mengumumkan bahawa saman itu telah diserahkan kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 1 Disember,” menurut peguam daripada Tetuan Zharif Nizamuddin itu menerusi kenyataan di sini hari ini.
Selain itu, Nizamuddin berkata, tiada usaha dilakukan untuk menyerahkan sendiri saman itu kepada Mohamed Azmin di kediaman atau pejabat beliau.
Beliau berkata, peguam itu juga tidak menulis kepada anak guamnya bagi meminta janji temu untuk menyempurnakan penyerahan saman berkenaan.
“Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menghormati sistem keadilan dan sekiranya plaintif telah menyerahkan saman itu dengan mengikuti prosedur yang ditetapkan undang-undang, beliau akan segera hadir.
“Apa yang dikesalkan adalah mereka memilih untuk mengeluarkan kenyataan sedemikian kepada sebuah portal berita dalam kes yang sedang berlangsung di mahkamah,” katanya.
Portal berita itu melaporkan bahawa Mohamed Azmin, yang juga Ahli Parlimen Gombak, tidak diwakili peguam ketika pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Maslinda Selamat, pada 28 Disember yang dijalankan secara dalam talian.
Yohendra dipetik sebagai berkata, beliau akan memfailkan permohonan bagi mendapatkan penghakiman ingkar sekiranya tidak ada peguam tampil mewakili Mohamed Azmin pada prosiding pengurusan kes seterusnya pada 14 Januari depan.
Kesemua 10 pengundi berdaftar dalam kawasan Parlimen Gombak itu telah memfailkan saman pada 27 November lalu terhadap Mohamed Azmin atas dakwaan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari menerusi ‘Langkah Sheraton’ yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada Februari tahun ini.
Penyataan tuntutan mereka menyebut kesemua plaintif, berusia lingkungan 36 dan 64 tahun, memohon antara lain pengisytiharan bahawa Mohamed Azmin, selaku Ahli Parlimen Gombak, telah melanggar kewajipan fidusiarinya, menipu serta memungkiri representasi yang dibuat kepada mereka dalam pilihan raya umum bagi kawasan berkenaan. – BERNAMA