KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tempoh berkempen masih berbaki empat hari sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pada Sabtu (19 November).
Justeru itu, Muhyiddin mengingatkan Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim agar tidak mendabik dada dengan mendakwa bahawa PH sedang mendahului berbanding parti lawan menjelang PRU15.
“Dalam keadaan macam ni dia boleh kata begitu, tapi kita ada lima (empat) hari lagi. Dia tak boleh mendabik dada kata ada sokongan besar, saya pun boleh cakap begitu.
“Apapun kita serahkan kepada pengundi untuk buat pertimbangan bijaksana,” katanya selepas ceramah PN di Keramat.
Malah, Muhyiddin berkata, kenyataan Anwar itu menunjukkan beliau hanya mementingkan jawatan.
“Saya dah jelaskan panjang lebar apa yang kita perjuangkan (dalam manifesto), belah sana tak sebut apa-apapun.
“Bagi dia tak penting, bagi dia jawatan saja. Bagi saya bukan jawatan, tapi perkhidmatan yang nak ditawarkan pada negara. Yang itu saya telah sebutkan dalam manifesto saya,” katanya.
Terdahulu, Anwar dilaporkan berkata, beliau yakin PH sedang mendahului parti lawan dari segi sokongan pengundi berdasarkan data dan kajian setempat.