Dakwa Wujud Unsur Rasuah Dalam Kes Tiga MP, Bersatu Akan Buat Laporan Polis, SPRM

KUALA LUMPUR: Bersatu memaklumkan pihaknya akan segera membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan wujudnya elemen rasuah dan ugutan yang membabitkan kalangan Ahli Parlimennya.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dakwaan unsur ugutan dan rasuah itu ada kaitan dengan soal peruntukan sebagai wakil rakyat, yang memerlukan mereka menyatakan sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita beberapa hari lalu telah membuat pengumuman kes Ahli Parlimen Bersatu khasnya ada diugut, ditawar dengan faedah dengan tawaran sepeti kewangan atau peruntukan yang mana bagi kami adalah satu tindakan melanggar peruntukan Akta SPRM,” katanya selepas mempengerusi mesyuarat tergempar Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, malam ini.

Menerusi sidang media yang sama, Muhyiddin mendakwa dimaklumkan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim bahawa mereka diberi tawaran sebelum mengumum menyokong Anwar.

“Contohnya dalam kes Ahli Parlimen Gua Musang beliau maklum dalam mesyuarat Berstau Kelantan bahawa beliau dapat tawaran bagaimana menolak semuanya tetapi tiga hari selepas itu beliau umum sokong sebelah sana dan kita syak ada perkara berlaku yang telah langgar peraturan.

“Macam juga kes Kuala Kangsar jelas ada disebut dalam laporan tu, tarikh-tarikh bila mana pihak tertentu yang membabitkan tokey berpakat Tan Sri ugut kalau tak buat itu akan dikenakan hukuman oleh SPRM, ada elemen intimidasi atau pendakwaan untuk dapatkan sokongan dengan tawarkan tawaran bernilai jutaan ringgit dan sebagainya,” katanya.

Muhyiddin berkata, laporan itu juga akan dibuat terhadap pegawai tertinggi SPRM yang mungkin terlibat dalam ugutan tersebut.

“Mungkin SPRM juga terbabit, mungkin ada babitkan pegawai tertinggi,” katanya.

Selain Iskandar Dzulkarnain dan Mohd Azizu, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul juga telah mengumumkan menyokong Anwar pada bulan lalu.

BBerkaitan

Latest articles