Dakwa DAP Hina Najib, Cabar Maruah Parti, UMNO Puchong Putus Hubungan Dengan PH

PUCHONG: UMNO Bahagian Puchong mengambil pendirian tegas apabila secara rasmi memutuskan semua bentuk kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) Puchong berkuat kuasa serta-merta, susulan kenyataan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, yang disifatkan tidak beradab serta menghina Datuk Seri Najib Razak.

Setiausaha UMNO Bahagian Puchong, Mohamad Yusof Mohamed Yassin berkata, keputusan tegas itu dibuat selepas Yeo gagal mengemukakan permohonan maaf dalam tempoh 24 jam walaupun telah diberikan ruang dan peluang untuk berbuat demikian.

“Maka dengan ini UMNO Bahagian Puchong secara rasmi dan muktamad memutuskan semua bentuk kerjasama politik dengan Pakatan Harapan Puchong,” menurut kenyataan parti dalam surat rasmi dua muka surat yang diedarkan hari ini.

Surat berkenaan turut dimaklumkan kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, sebagai makluman rasmi keputusan di peringkat bahagian.

Menurut Mohamad Yusof, pemutusan kerjasama itu melibatkan keseluruhan struktur politik di Parlimen Puchong termasuk dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Seri Serdang dan Seri Kembangan.

Beliau menegaskan, UMNO Puchong tidak lagi akan mengadakan sebarang mesyuarat bersama, penyelarasan program, aktiviti kempen mahupun kerjasama strategi pilihan raya dengan PH Puchong dalam apa jua keadaan.

Selain itu, UMNO Puchong turut menolak sebarang bentuk persefahaman tidak rasmi atau gentleman’s agreement dengan PH, dan menegaskan parti berhak mengambil pendirian sendiri dalam semua isu politik tempatan tanpa terikat kepada sebarang komitmen terdahulu.

“UMNO Bahagian Puchong menolak sikap, kenyataan dan tindakan pemimpin PH Puchong. Kami berpandangan maruah parti, prinsip Perlembagaan Persekutuan serta penghormatan terhadap institusi Raja-Raja Melayu telah dicabar dan tidak dihormati,” tegas kenyataan itu.

Bagaimanapun, Mohamad Yusof menjelaskan bahawa pendirian tersebut tidak membawa maksud UMNO menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri, sebaliknya ia merupakan keputusan politik setempat.

“Ia selagi tidak bercanggah dengan ketetapan Majlis Tertinggi UMNO atau kepimpinan Barisan Nasional di peringkat pusat,” katanya.

Susulan keputusan berkenaan, UMNO Bahagian Puchong akan bergerak secara bersendirian di Parlimen Puchong serta dua kerusi DUN terbabit, manakala sokongan terhadap calon PH dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) atau Pilihan Raya Umum (PRU) akan dibuat secara bersyarat atau mungkin tidak diberikan langsung.

Tindakan itu, menurut UMNO Puchong, adalah sebagai isyarat jelas ketegasan parti dalam mempertahankan maruah, prinsip dan nilai yang dipegang.

Isnin lalu, Yeo Bee Yin mencetuskan kontroversi apabila memuat naik hantaran di media sosial berbunyi, “Satu lagi sebab untuk raikan hujung tahun ini”, susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun sebagai tahanan rumah, dengan alasan tiada mekanisme undang-undang membolehkan pelaksanaannya.

BBerkaitan

Latest articles