Selepas bertindak melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad telah dipujuk oleh pemimpin dan anggota parti untuk kembali kepada jawatan berkenaan.
Perkara itu dinyatakan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menerusi sidang media semalam, sambil menambah urusan parti tidak boleh ditangguh terlalu lama dan menyebabkan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin memangku jawatan Dr Mahathr.
“Dalam tempoh berkenaan sebagai adab Melayu, kita cuba pujuk… Dr Mahathir sendiri mengaku untuk ambil balik (jawatan), cuma beliau cakap tunggu dulu dan dalam keadaan itu, urusan perjalanan parti telah diteruskan,” ujarnya.
Keahlian Tun M Terhenti Secara Undang-Undang Bukan Dipecat – Hamzah Zainuddin
Malah selain sah mengikut perlembagaan parti Bersatu, peletakan jawatan Dr Mahathir selaku Pengerusi parti itu juga diperakui oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Begitu juga dengan tindakan Muhyiddin yang memangku jawatan yang disandang Dr Mahathir juga adalah sah sehinggalah parti itu mengadakan pemilihan parti yang baru.
“Presiden parti ambil alih kedudukan Pemangku Pengerusi Bersatu mengikut fasa yang diperuntukkan dalam perlembagaan parti pada 24 Februari lalu selepas Dr Mahathir sendiri letak jawatan,” kata Hamzah.
Akibat salah faham yang timbul, Setiausaha Kerja Bersatu, Kapten (B) Muhamad Suhaimi Yahya mendapatkan surat pengesahan daripada RoS berhubung perkara itu.
RoS mengambil maklum Mahathir telah meletak jawatan sebagai Pengerusi Bersatu melalui surat bertarikh 24 Februari dan berkuat kuasa serta merta.
Ia juga telah dikemukakan kepada Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu dan sehubungan itu presiden parti berhak memangku jawatan itu, sehingga pemilihan diadakan mengikut Fasal 16.9 Perlembagaan Bersatu.