“Dah 24 Tahun Perintah, Duduk Diam-Diamlah”

PERMATANG PAUH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang terus mencampuri politik negara walaupun sudah 24 tahun memegang kuasa.

Anwar mempertikaikan keikhlasan perjuangan tokoh politik lama itu yang mendakwa mahu membela nasib orang Melayu, tetapi tidak menyalurkan kekayaan yang dimiliki kepada rakyat.

“Anak dia isytihar harta kepada SPRM lebih RM1 bilion, keluarga ada RM4 bilion. Tapi dia masih nak lawan kerajaan, suruh kita turun.

“Nak perjuang Melayu, silakan… tapi kalau dah ada RM1 bilion, bagi baliklah,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Induk Bumiputera Tunas Madani di UiTM Permatang Pauh, hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar mempersoalkan kelayakan Mahathir untuk terus menyuarakan kritikan setelah lebih dua dekad memegang tampuk pemerintahan.

“Dia jaga negara 22 tahun, tambah lagi dua tahun jadi 24 tahun. Melayu jadi macam ni siapa perintah? Dia juga. Harta dah banyak, rumah pun tak tentu arah… duduk diam-diamlah,” katanya sinis.

Anwar juga menolak dakwaan Mahathir bahawa rakyat kini tidak lagi bebas bersuara, dengan membandingkan era pemerintahannya dengan zaman Mahathir.

“Dia kata saya zalim, rakyat tak boleh cakap. Tapi zaman dia dulu ramai yang kena tangkap. Saya bukan macam dia,” tegasnya.

Dalam pada itu, Anwar menyeru rakyat khususnya orang Melayu supaya menilai situasi politik dan ekonomi negara dengan rasional dan tidak mudah terpedaya dengan retorik lapuk yang dimainkan semula.

“Malaysia sekarang antara negara paling stabil, pelabur yakin. Masalah kita, warisi hutang. Kalau tak urus, negara boleh bankrap. Jangan terpedaya dengan mereka yang hanya tahu maki hamun,” ujarnya.

Semalam, Mahathir dalam satu kenyataan menyatakan bahawa penurunan Perdana Menteri bukan hanya boleh berlaku melalui pilihan raya, tetapi juga melalui desakan rakyat jika pemimpin gagal menunjukkan prestasi.

BBerkaitan

Latest articles