SANDAKAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat supaya tidak lagi memberi ruang kepada pemimpin yang hanya tahu mengaut keuntungan peribadi, menanam kebencian dan akhirnya merosakkan negara.
Anwar berkata, rakyat mesti memastikan kepimpinan negara diurus oleh mereka yang amanah serta mempunyai tatakelola yang baik.
“Kita banyak dengar tentang pemimpin yang curi sana, curi sini. Budaya sebegitu mesti dihentikan. Kadang-kadang mereka pernah jadi pemimpin, hidup kaya raya, bolot projek besar, tetapi masih juga marah pada orang lain. Itu tidak boleh diterima,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Jelajah Wira Madani dan Sambutan Ulang Tahun ke-20 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Kompleks APMM Zon Maritim Sandakan, yang turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah.
Anwar menegaskan kerajaan tidak boleh berkompromi dengan ketirisan, keborosan dan rasuah, terutama melibatkan sektor pertahanan yang menelan perbelanjaan berbilion ringgit.
“Kalau yang diberi amanah kerjanya pecah amanah, negara akan rosak. Sehebat mana pun negara, ia akan jatuh jika budaya ketirisan dibiarkan,” katanya.
Dalam ucapannya, Anwar turut menyatakan rasa puas hati dengan prestasi APMM selepas kerajaan menyalurkan peruntukan tambahan.
Katanya, perairan negara yang luas menuntut aspek keselamatan diperkukuh dengan aset pertahanan yang lengkap.
“Negara ini aman, tetapi kita tetap berdepan cabaran penyeludupan manusia, senjata, dadah dan pencerobohan. Semua ini memerlukan angkatan yang disiplin serta berkelengkapan baik.
“Malaysia kekal aman hasil pengorbanan pasukan keselamatan, termasuk APMM. Sebab itu kelengkapan dan disiplin mereka mesti dijaga dengan penuh amanah,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada semua anggota keselamatan.