Cukuplah Tun M, Malaysia Tak Perlukan Lagi Orang Lama Sebagai PM

KUALA LUMPUR: Pengalisis politik menggesa Tun Dr Mahathir Mohamad tidak lagi merasakan dirinya mampu mengawal politik Malaysia sehingga mahu lagi menjadi Perdana Menteri buat kali ketiga.

Mereka berpandangan adalah lebih baik bekas perdana menteri sebanyak dua kali itu untuk berehat jika beliau mahu Malaysia berada pada kedudukan lebih baik dari aspek kestabilan politik, ekonomi dan sosial pada masa depan.

Bercakap kepada Malaysia Gazette, pemerhati politik, Dr Jeniri Amir berkata, Malaysia tidak pernah ketandusan pemimpin-pemimpin yang berwibawa dan berkemampun untuk mengemudi negara ini, jika semua pihak meletakkan kestabilan politik, pengukuhan ekonomi dan masa depan rakyat sebagai keutamaan.

Jeniri percaya tiada rakyat di negara ini yang masih mempercayai Mahathir selepas ‘Langkah Sheraton’.

Jeniri berkata demikian sebagai mengulas tawaran Dr Mahathir untuk menjadi Perdana Menteri dalam tempoh setahun jika Gerakan Tanah Air (GTA) diberikan mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

Menjelaskan lebih lanjut, Jeniri berkata tahap kepercayaan rakyat terhadap Ahli Parlimen Langkawi itu juga merudum selepas beliau mungkir janji untuk menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

“Berdasarkan apa yang berlaku, saya tidak tahu mengapa beliau masih memikirkan layak menerajui negara lagi.

“Saya percaya rakyat sudah tidak mempercayai beliau (Mahathir), cukup-cukuplah….kalau dibuat survei pun saya yakin majoriti rakyat tidak lagi mahu beliau.

“Mahathir perlu berhenti untuk menyatakan orang lain tidak bijak, tidak upaya menerajui negara, kecuali beliau sahaja,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Kata Jeniri, pada usia sekarang, Mahathir sepatutnya bersara secara total dan menyokong jika ada pemimpin-pemimpin yang lebih baik untuk mengemudi negara ke landasan yang betul dan tepat.

Sementara itu, Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain juga berpendapat adalah tidak wajar memberi peluang ketiga kepada Mahathir untuk menjadi Perdana Menteri.

Namun, beliau percaya kenyataan itu dibuat oleh Mahathir kerana bekas Perdana Menteri itu mahu mendapatkan reaksi daripada pelbagai pihak

“Negara ini perlu dikemudi oleh individu yang sihat dan bukan lagi orang lama.

“Saya tak fikir kalau beliau naik, ia satu situasi politik yang sihat, Malaysia ini dinamik…macamlah tiada muka orang lain. Politik Malaysia kena berubahlah.

“Beliau (Dr Mahathir) sepatutnya memberi laluan dan sokongan kepada kepimpinan baharu, bukannya beliau naik lagi. Beliau sepatutnya kena terimalah kepimpinan baharu di negara ini,” ujarnya sambil menyifatkan jika Mahathir masih diberi mandat, seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena.

Bagaimanapun, Mohd Izani tidak nampak GTA yang digerakkan oleh gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan golongan profesional akan menang dalam PRU nanti.

“Tetapi ia mungkin menjadi kenyataan jika GTA mengadakan kerjasama sekali gus bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menang PRU.

BBerkaitan

Latest articles