TANJONG KARANG: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa tidak lagi mengelirukan rakyat dengan menabur pelbagai janji yang akhirnya langsung tidak ditunaikan.
Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata demikian selepas Anwar tampil dengan 36 dasar yang menurutnya perlu diberi keutamaan dalam usaha mewujudkan Malaysia yang lebih baik.
Antara perkara-perkara itu adalah memansuhkan bayaran tol dan bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), khusus untuk golongan B40.
Beliau menegaskan, rakyat sudah bijak menilai menerusi pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan sebelum ini.
“Beliau (Anwar) cukup-cukuplah memberi janji tidak serupa bikin dan bercakap kosong.
“Kita kini sudah tiga kali bertukar kerajaan termasuk di bawah PH yang tidak mampu menunaikan janji untuk memansuhkan bayaran tol dan PTPTN,” katanya yang merangkap Ahli Parlimen Tanjong Karang, hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) PTPTN di Institut Pengurusan Peladang (IPP), di sini.
Seramai 223 penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dari Parlimen Tanjong Karang turut menerima sumbangan wang tunai bagi peringkat ijazah dan diploma.
Semalam, media melaporkan semua cadangan dasar Anwar itu dimasukkan dalam ‘SCRIPT-For a Better Malaysia’, buku yang mengetengahkan visi dan kerangka dasar yang menjadi matlamat untuk mentransformasikan Malaysia.
Dalam buku dihasilkan menerusi kerjasama Institut Darul Ehsan (IDE) dan Pusat Dasar Postnormal dan Kajian Masa Depan itu antaranya mencadangkan bayaran tol kepada B40 dimansuhkan dengan menyediakan ‘Pas Tol’ dan pemansuhan bayaran balik PTPTN kepada golongan itu.
Pada masa sama, Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berkata, agenda kerajaan ketika ini kukuh bagi membantu meringankan beban rakyat.
Memberi contoh, katanya, PTPTN memperuntukkan RM100 juta untuk menyediakan geran khas kepada B40 dan bayaran percuma kepada mahasisiwa yang memperoleh keputusan pengajian kelas pertama.
“Ia menunjukkan kita melaksanakan janji praktikal dan akan sentiasa menyalurkan bantuan atau subsidi kepada rakyat,” katanya.