KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pemimpin politik dan masyarakat agar tidak menggunakan isu agama bagi kepentingan peribadi atau politik, kerana tindakan sedemikian boleh membawa kesan buruk kepada rakyat.
Beliau menegaskan bahawa sebarang isu berkaitan agama harus diselesaikan mengikut undang-undang dan bukan dijadikan alat politik.
“Pimpinan mana-mana parti ataupun masyarakat, janganlah tunggang isu ini untuk kepentingan peribadi. Jika kita teruskan, ia boleh membakar dan memusnahkan rakyat,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Teras Jernang, hari ini.
Anwar turut menyeru semua pihak untuk menghormati bulan Ramadan dan mengekalkan keharmonian dalam masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia.
“Islam adalah agama Persekutuan dan kita harus martabatkan, selain menjaga keharmoniannya. Jadi, saya hendak nasihat dan memberi pandangan supaya jangan gunakan ini sebagai senjata politik kerana ia akan membakar diri,” tambahnya.
Walaupun beliau tidak menamakan mana-mana pemimpin secara khusus, kenyataannya hadir di tengah-tengah ketegangan berkaitan isu agama yang menjadi perhatian baru-baru ini.
Antara isu yang mencetuskan kontroversi ialah kenyataan pendakwah bebas, Zamri Vinoth, yang membandingkan pembawa kavadi ketika sambutan Thaipusam dengan individu yang dirasuk atau mabuk.
Kenyataan itu menerima kecaman hebat, termasuk daripada Timbalan Presiden MIC, Datuk M. Saravanan, yang menggesa tindakan undang-undang terhadap Zamri di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Ahli Parlimen DAP, Ramkarpal Singh dan RSN Rayer turut mengecam kenyataan Zamri, dengan Rayer telah membuat laporan polis berhubung perkara itu.
Sebelum ini, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, turut memberi amaran kepada semua pihak agar tidak menyebarkan kenyataan berunsur provokasi, penghinaan, atau mempersendakan agama di media sosial.
Kerajaan, tegas Anwar, akan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang menghina agama bagi memastikan kestabilan dan keharmonian masyarakat terus terpelihara.