Cukup-Cukuplah Sabotaj, Muhyiddin Kata Tindakan Pemecatan Demi Selamatkan Bersatu

KUALA LUMPUR: Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menegaskan tindakan disiplin termasuk pemecatan terhadap beberapa pemimpin parti bukan keputusan terburu-buru, sebaliknya langkah penting bagi menyelamatkan parti daripada terus ‘diracuni’ oleh anasir dalaman.

Menurut beliau, Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang dipengerusikannya hari ini memberi tumpuan khusus kepada usaha memperkukuhkan parti susulan tindakan tegas yang telah diambil terhadap beberapa ahli.

Muhyiddin menjelaskan bahawa setiap tindakan disiplin dibuat berdasarkan peruntukan dalam perlembagaan parti, bukannya keputusan bersifat peribadi atau emosional.

“Tindakan disiplin adalah sebahagian daripada mekanisme untuk memastikan parti terus stabil dan kukuh. Ia tidak dibuat sewenang-wenangnya, apatah lagi apabila melibatkan pemimpin kanan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh memaklumkan bahawa sebelum sebarang tindakan diambil, pelbagai usaha damai telah dilakukan termasuk siri pertemuan dan rundingan tertutup. Namun, semua usaha tersebut gagal mencapai penyelesaian.

Muhyiddin mendedahkan terdapat segelintir pihak yang didakwa berterusan melakukan sabotaj dengan niat memecah-belahkan parti dan menggagalkan perjuangan asal Bersatu.

Sebagai pengasas dan presiden parti, beliau menegaskan tanggungjawabnya adalah memastikan haluan perjuangan tidak tersasar.

“Saya tidak rela melihat parti ini dirosakkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab,” tegasnya.

Muhyiddin turut mengakui selama ini beliau mengambil pendekatan berhemah dalam mendepani tekanan dalaman, termasuk memberi ruang kepada individu yang pernah menentangnya untuk terus berada dalam kepimpinan.

Katanya, pendekatan tersebut dibuat demi perpaduan dan kestabilan parti, namun ia tidak dihargai apabila tindakan bercanggah dengan perlembagaan terus berlaku.

“Jika dibiarkan, ia akan merosakkan parti dan mengecewakan ahli yang setia,” tambahnya.

Dalam mesyuarat sama, MPT Bersatu sebulat suara melantik Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagi menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden.

Langkah itu dilihat sebagai usaha memperkukuhkan struktur kepimpinan parti ketika berdepan kemelut dalaman yang semakin meruncing.

Mengakhiri kenyataannya, Muhyiddin menyeru seluruh ahli Bersatu supaya tidak terpengaruh dengan spekulasi serta terus memberikan sokongan kepada kepimpinan sedia ada.

Beliau yakin dengan kesetiaan dan semangat kebersamaan ahli, parti itu mampu bangkit semula dan mengharungi apa jua cabaran mendatang.

“Kita akan terus mara dengan lebih kukuh,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles