MASJID TANAH: Perikatan Nasional (PN) tidak bertanding di semua 222 kerusi Parlimen dalam PRU-15 19 November depan.
Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sebaliknya gabungan itu hanya membabitkan sejumlah kerusi yang disifatkan cukup untuk membolehkannya membentuk Kerajaan Persekutuan.
Muhyiddin turut menafikan laporan media kelmarin kononnya gabungan tersebut akan bertanding di semua 222 kerusi.
“Ada laporan media, saya kata PN akan bertanding di 222 kerusi, tidak tepat. Kita akan bertanding majoriti yang sejumlah kerusi yang kalau kita menang, kita boleh bentuk kerajaan,” katanya selepas melancarkan jentera Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRN15) PN pada program Jelajah Prihatin Parlimen Masjid Tanah di Kampung Paya Lebar, malam tadi.
Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan PN Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakop; Timbalan Pengerusi Perhubungan PN negeri, Zulkifli Ismail dan Pengerusi GERAKAN Melaka, Datuk Seri Michael Gao Peng Lau serta penyandang kerusi Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Menerusi program yang sama, Muhyiddin turut mengumumkan calon pertama PN, iaitu Mas Ermieyati akan mempertahankan kerusi yang sama, manakala calon lain akan diumumkan Pengerusi PN negeri masing-masing, beberapa hari sebelum penamaan calon.
Bagaimanapun, beliau enggan menjelaskan jumlah sebenar kerusi yang bakal ditandingi PN.
Sementara itu menyentuh tentang manifesto PN, Muhyiddin berkata, beliau sudah menerima draf manifesto yang mengetengahkan beberapa aspek utama berkaitan pemulihan ekonomi negara dan mereka yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik COVID-19.
“Yang paling utama, apabila kita bentuk kerajaan, kita betulkan masalah ekonomi kerana ramai rakyat yang susah, soal pulihkan perniagaan, wujudkan peluang pekerjaan dan seumpamanya.
“Kita lihat bagaimana hendak bantu rakyat yang sebahagiannya jatuh miskin tak kira apa kaum,” katanya.