Cuba Seludup 2,578 Kura-Kura Telinga Merah, Warga India Mengaku Salah

SEPANG: Seorang lelaki warga India mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba menyeludup 2,578 ekor kura-kura telinga merah keluar dari negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Selasa lalu.

Tertuduh, Sathaiyan Alagusundaram, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Mahkamah menetapkan 19 September ini untuk sebutan semula kes, sebelum hukuman dijatuhkan memandangkan laporan rasmi berkaitan kes tersebut masih belum lengkap.

“Tertuduh tidak ditawarkan jaminan dan tidak diwakili peguam,” menurut Timbalan Pendakwa Raya Mas Izzaty Lokman.

Mengikut pertuduhan, Sathaiyan didakwa cuba mengeksport 2,578 ekor kura-kura telinga merah, iaitu spesies yang disenaraikan di bawah Jadual Kelima, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 10.05 malam, 5 Ogos lalu di Pintu Perlepasan G8, KLIA Terminal 1.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 117(1) Akta 716, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 117(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara satu tahun atau denda hingga RM30,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut kenyataan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) semalam, Sathaiyan ditahan sejurus selepas imbasan ke atas beg bagasi yang dibawanya menunjukkan imej mencurigakan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati ribuan kura-kura disembunyikan dalam bagasi yang dibawa tertuduh, yang dijadualkan menaiki penerbangan ke Bengaluru, India,” kata kenyataan itu.

Kura-kura telinga merah (red-eared slider) merupakan spesies popular dalam perdagangan haiwan eksotik namun dikategorikan sebagai spesies dikawal, dan aktiviti mengeksport tanpa permit sah boleh memberi kesan serius terhadap keseimbangan ekosistem.

BBerkaitan

Latest articles