SELURUH dunia sudah hadapi gelombang kedua dan ketiga Covid-19 sejak beberapa bulan yang lepas. Akibat daripada serangan gelombang kedua dan ketiga ini, banyak negara yang mampu tingkatkan perkhidmatan kesihatan awam mereka.
Ada juga negara yang masih bertahan tetapi dalam keadaan ‘nyawa-nyawa ikan’ seperti di India, Amerika Syarikat dan beberapa negara lain. Lebih teruk, ada juga negara yang terpaksa terima jumlah korban yang amat tinggi.
Menurut kajian sebuah jurnal antarabangsa, sebab gelombang kedua dan ketiga datang serang seluruh dunia sekarang adalah daripada kemunculan varian berjangkit, mutan berganda, ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dan akibat liputan vaksin yang masih rendah.
Para pakar kesihatan dunia ada memberitahu kita supaya perlu percepatkan proses vaksinasi dan pada masa sama terus ketatkan SOP, termasuklah menjaga sempadan negara dengan baik.
Kita kena sedar dan akui, banyak strategi yang diperlukan dalam kita melawan pandemik ini. Dalam banyak-banyak itu, Kerajaan Malaysia sebenarnya sudah lakukan yang terbaik. Antara perkara yang perlu dititikberatkan ketika melawan pandemik ini termasuk seperti berikut:
Pertama, tidak kira siapa baik pemerintah atau masyarakat, kita semua harus memainkan peranan penting dalam menghentikan infodemik. Apakah itu infodemik? Jika ikut tafsiran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), infodemik adalah satu keadaan dimana maklumat berlebihan disebarkan.
Ia mengundang kepada perkara-perkara negatif dalam kalangan masyarakat. Ini termasuk berita palsu berkaitan wabak penyakit. Ia memberi kekeliruan dan tingkah laku salah terhadap tafsiran seseorang kepada pandemik hingga menimbulkan bahaya kesihatan seseorang. Ini juga menimbulkan ketidakpercayaan terhadap pihak kesihatan dan melemahkan tindak balas kesihatan masyarakat.
Perkara kedua yang harus kita sedar ialah jangan terlalu takut. Bak kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba, “…bertenang dan jangan panik”. Walaupun beliau bercakap dalam konteks berbeza, namun nasihat itu harus digunapakai semua.
Kita harus bertenang dan jangan panik dalam berhadapan pandemik ini. Keyakinan perlu ada dalam diri bahawa setiap diri kita ada “kekebalan” tersendiri. Ia diabsahkan lagi dengan pengambilan vaksin yang sedang dilakukan sekarang. Percayalah bahawa vaksin mampu memberi “perlindungan” yang baik terhadap diri ketika berhadapan dengan virus-virus tak nampak ini.
Sekiranya kita tidak ambil vaksin, kadar jangkitan dan kerosakan badan kita jika dijangkiti akan lebih tinggi berbanding jika kita ambil vaksin.
Ketiga kita harus pastikan liputan vaksin di dalam komuniti kita melebihi 80 peratus hingga mencipta imuniti kelompok. Malangnya, hanya sekitar empat peratus atau 1.3 juta yang menerima dos vaksin pertama atau kedua. Untuk mewujudkan imuniti kelompok, pemerintah sedang berusaha mempercepat usaha. Sifirnya adalah jika kadar vaksinasi melebihi kadar jangkitan, ia akan memberi peluang kepada virus untuk bermutasi.
Keempat, badan penyelidikan harus mempercepatkan proses penyelidikan mengenai vaksin dan mencari ubatnya. Walaupun akan berlaku banyak kekangan berupa kewangan, kepakaran, jalur masa dan sebagainya, namun ia tidak boleh dibiarkan tanpa ada usaha ke arah itu.
Penyelidikan mengenai alat pelindung diri, diagnostik, dan faktor lain yang kecil, seperti peranan vitamin D dalam mengurangkan kadar kematian akibat Covid-19 dapat dikaji, seperti yang diaplikasi di negara-negara seperti Finland. Malaysia mempunyai pakar yang mencukupi dalam bidang ini. Justeru gunakan masa darurat ini untuk mengumpul pakar-pakar berkenaan bagi mencari jalan keluar daripada pandemik tersebut.
Kelima, orang ramai harus yakin bahawa risiko pembekuan darah dari vaksinasi lebih rendah daripada kejadian pembekuan darah pada populasi yang normal. Sebagai contoh, lebih daripada 20 juta dos vaksin AstraZeneca telah diberikan di United Kingdom (UK).
Badan Pengawalseliaan Ubat-ubatan dan Produk Kesihatan di UK menganggarkan risiko pembekuan darah berbanding penerima vaksin AstraZeneca adalah sekitar empat dalam satu juta. Untuk vaksin Johnson & Johnson, ia sekitar satu dari enam juta.
Kalau nak diukur antara risiko dan manfaatnya, maka sudah tentu jauh lebih banyak manfaat berbanding risiko dihadapi. Ia hanya menjadi besar apabila ada sesetengah pihak cuba bertindak melontarkan propaganda jahat untuk mengagalkan usaha vaksinasi ini.
Dan yang terakhir, akhbar berperanan untuk melaporkan penemuan positif dalam tajuk utama mereka. Contohnya program vaksinasi benar-benar membuatkan banyak wabak penyakit sebelum ini berjaya dibendung seperti polio, hepatitis, campak, gondok dan rubela. Bukan gunakan akhbar untuk sebar perkara-perkara sensasi yang kurang tepat.
Justeru membentuk imuniti kelompok kini jadi tanggungjawab semua. Bukan sahaja kerajaan, NGO, ketua kampung, ketua keluarga dan setiap orang mesti sama-sama capai matlamat ini. Jadi marilah sama-sama kita berganding bahu mempromosikan dan mengajak orang ramai untuk menggunakan vaksin yang telah diluluskan Kerajaan Malaysia bagi membentuk 80 peratus imuniti kelompok secepat mungkin.
Dr Muhammad Kelantani
Bandar Baru Bangi