GOPENG: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi kelonggaran kepada pihak pentadbir sekolah untuk menutup operasi sekiranya suhu harian mencecah lebih 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, menjelaskan bahawa langkah tersebut merupakan sebahagian daripada garis panduan sedia ada yang telah diperkenalkan sejak 2023 bagi menghadapi situasi cuaca panas ekstrem.
Menurut beliau, pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) serta pengurusan sekolah mempunyai pengalaman dan keupayaan mencukupi dalam menguruskan situasi cuaca panas yang semakin mencabar ketika ini.
“Keutamaan KPM adalah memastikan keselesaan serta kesihatan murid sentiasa terpelihara, terutama ketika keadaan cuaca panas dan kering yang berpanjangan,” katanya ketika ditemui media selepas lawatan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Gopeng.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa semua aktiviti luar perlu dihentikan sementara sekiranya suhu berada pada paras antara 35 hingga 37 darjah Celsius dalam tempoh yang sama.
Antara aktiviti yang terlibat termasuk merentas desa, perkhemahan, kawad kaki, sukan, permainan luar bilik darjah serta aktiviti pertanian.
Sehubungan itu, KPM telah mengarahkan semua pentadbir sekolah termasuk pengetua, guru besar dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) agar sentiasa memantau bacaan suhu harian di kawasan masing-masing bagi membolehkan tindakan segera diambil.
Dalam perkembangan berkaitan, Wong memaklumkan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Gopeng akan menjalani projek pembangunan semula membabitkan peruntukan sebanyak RM14.5 juta.
Projek yang dijangka bermula hujung tahun ini itu akan mengambil masa kira-kira 22 bulan untuk disiapkan, melibatkan perobohan bangunan lama dan pembinaan blok baharu tiga tingkat.
Kemudahan baharu itu bakal merangkumi enam bilik darjah, pejabat pentadbiran, bilik guru serta stor sukan bagi menggantikan struktur lama yang telah uzur.
Menurut Wong, sekolah berusia lebih 80 tahun itu mengalami kerosakan serius, khususnya pada blok utama dan bangunan pentadbiran akibat serangan anai-anai sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Beliau berharap projek berkenaan dapat disiapkan sepenuhnya menjelang akhir tahun 2028 demi keselesaan warga sekolah.










