KUALA LUMPUR: Malaysia mengekalkan kedudukan dan skor dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2024 oleh Transparency International, dengan mencatatkan 50 mata, sama seperti 2023.
Menerusi laporan terbaharu kumpulan anti-rasuah itu, Malaysia kekal berada di tangga ke-57 seperti 2023 daripada 180 negara yang dinilai.
CPI menggunakan skala dari 0 (kadar rasuah tertinggi) hingga 100 (kadar rasuah terendah dan bersih).
Malaysia memperoleh 50 mata pada 2023, 47 pada 2022, 48 pada 2021, dan 51 pada 2020.
Denmark menduduki tangga teratas dalam indeks tahun ini dengan skor 90, diikuti Finland (88), Singapura (84), New Zealand (83) dan Luxembourg (81).
Negara jiran serantau lain mencatat kedudukan lebih rendah daripada Malaysia, termasuk Vietnam yang berada di tangga ke-88 dengan 40 mata, diikuti Indonesia (99 – 37 mata), Thailand (107 – 34 mata) dan Filipina (114 – 33 mata).
Transparency International Malaysia dalam satu kenyataan berkata walaupun kedudukan Malaysia dalam indeks CPI kekal tetapi Putrajaya perlu menyedari bahawa sasaran negara adalah untuk berada dalam kelompok 25 negara teratas menjelang 2033.
“Untuk mencapai sasaran itu, kita perlu mencatatkan skor antara 68 hingga 70 mata, yang bermakna kita harus meningkatkan sekurang-kurangnya dua mata setiap tahun,” katanya.