Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menasihatkan kesemua ahli parlimen di kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang untuk mengetepikan perbezaan politik dan bekerjasama dalam menggiatkan usaha membendung Covid-19.
Beliau berkata demikian ketika pemasyhuran daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat di Persidangan hari pertama Dewan Rakyat bagi sesi Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 hari ini.
“Seperti mana yang Yang Berhormat sedia maklum, perjuangan mengekang penularan Covid-19 di seluruh dunia termasuk Malaysia, masih belum selesai. Ia sesungguhnya memberi kesan dan menjejaskan banyak pihak, termasuk rakyat negara ini.
“Saya mengajak semua ahli Yang Berhormat tanpa mengira latar belakang dan khususnya (perbezaan) fahaman politik (untuk) mengetepikan segala perbezaan dan perbalahan, bersatu padu dan bersatu hati memainkan peranan masing-masing dan membantu kerajaan dan pihak berkuasa dalam membendung Covid-19,” katanya.
Tegas Azhar, perkara itu juga selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, baru-baru ini.
Menerusi persidangan Dewan Rakyat kali ini, Azhar memaklumkan bahawa Seri Paduka memperkenankan sepuluh akta yang diluluskan pada Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Belas.
Akta berkenaan ialah Akta Perbekalan Tambahan 2019 (2020), Akta Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020, Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan 2020), Akta Mahkamah Kehakiman (Pindaan 2020) dan Akta Mahkamah Rendah (Pindaan 2020).
Selain itu Akta Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah (Pindaan 2020), Akta Insolvensi (Pindaan 2020), Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Penyakit COVID-19 2020, Akta Majlis Keselamatan Negara (Pindaan 2020) dan Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit COVID-19) 2020.