COVID-19 : Wanita Ini Sediakan Makanan Percuma Setiap Hari Di Pakistan

Wanita ini bernama Rukhsana Izhar, berusia 58 tahun dan ketika situasi ekonomi teruk ketika ini akibat wabak koronavirus (Covid-19), beliau dengan aktif memasak makanan percuma untuk golongan yang kurang berkemampuan di Islamabad, Pakistan.

Beliau amat prihatin dengan nasib golongan miskin yang tidak dapat makan tambahan pula ketika musim konflik sebegini. Rukhsana sudah melakukan aktiviti ini sejak 30 tahun yang lepas.

Di luar pintu rumahnya di Bandar Johar, ada nota bertulis: “Tiada siapa tidur dalam kelaparan. Makanan tersedia 24 jam.”

Menurut laporan agensi berita Gulf News, beliau berkata selepas terjadinya penularan wabak itu, kawan dan anaknya meminta supaya beliau menghentikan seketika kerja amal berkenaan sehingga krisis itu berakhir tapi Rukhsana tidak mengikutnya sebaliknya meneruskannya seperti biasa.

“Koronavirus memberi kesan yang tidak boleh digambarkan kepada kehidupan orang miskin.

“Ratusan pengawal keselamatan, jurujual, pembantu dan pekerja miskin yang bekerja di bilik pameran, pasar raya, pusat perniagaan, bank dan pejabat swasta semua hilang kerja.

“Tiada siapa beri mereka atau keluarga mereka makan,” katanya yang juga ada sebuah organisasi bukan kerajaan dipanggil Yayasan Rukh.

Setiap hari, dia memasak dan menyediakan 500 bungkus makanan yang diberikan percuma setiap hari tanpa sedikit pun mendapat bantuan kerajaan Pakistan.

“Saya fikir apa yang mereka buat jika kami hentikan khidmat percuma ini di saat mereka sangat memerlukannya,” katanya.

Katanya, mereka juga mengamalkan langkah pencegahan termasuk menjaga jarak sosial kepada mereka yang mengambil makanan itu. – TRI

BBerkaitan

Latest articles