Covid-19: Saya cuma ingat malaikat maut, Izrail kata Mufti Kelantan

  • Sebelum disahkan positif COVID-19, beliau ke Sarawak atas urusan kerja selama dua hari.
  • Bersama beliau dalam wad unit rawatan rapi (ICU) ketika itu adalah dua doktor pakar yang turut positif

KOTA BHARU: “Selama 16 hari dirawat, saya tertunggu dan bersedia macam mana agaknya pengalaman jumpa Izrail, kerana sentiasa mendengar pesakit COVID-19 yang baharu masuk hospital meninggal dunia.”

Demikian luahan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad ketika menceritakan pengalaman beliau menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) selepas disahkan positif COVID-19 pada 17 Mac lalu.

Luahnya, setiap hari tidak kira siang atau malam, beliau tidak putus berdoa supaya Allah mengampunkan segala dosa, kelemahan dan jika ada tanggungjawab tidak dipenuhi sepanjang menjalankan amanah.

Mohamad Shukri yang dibenarkan keluar hospital pada Khamis lalu berkata, bersama beliau dalam wad unit rawatan rapi (ICU) ketika itu adalah dua doktor pakar yang turut positif COVID-19, namun mereka ‘steady’ sahaja, sedangkan beliau sendiri rasa lemah.

“Sebenarnya COVID-19 ini atau sakit apa pun, kekuatan itu bergantung pada kita. Kalau kita rasa lemah, rasa tertekan itu memanglah.

“Namun saya lihat dua doktor pakar yang duduk sekali dengan saya sangat hebat. Setiap kali lepas solat, mereka baca Yassin, cuma saya duduk terkebil-kebil sebab saya agak keletihan.

“Situasi itu menyebabkan saya berfikir selain kita dapat rawatan secara fizikal, kekuatan rohaniah perlu tinggi kerana kebergantungan kita adalah kepada Tuhan,” katanya.

Ketika ditanya bagaimana rasa sakit yang dialami sepanjang menerima rawatan, Mohamad berkata beliau hanya rasa seperti demam biasa, namun apabila disahkan virus itu menyebabkan ramai maut menjadikan beliau sentiasa bersedia menghadapi mati.

“Saya tak ada rasa apa pun cuma sendi saya sengal. Bila dah kena ubat semuanya hilang. Saya juga tidak demam, batuk dan sesak nafas seperti pesakit lain.

“Cuma sepanjang ditahan di hospital, saya turut mengalami jangkitan kuman di paru-paru selain penyakit gout menyebabkan terpaksa ditahan agak lama di hospital.

“Hingga kini, saya terpaksa solat atas kerusi kerana sakit lutut disebabkan gout. Saya kini dinasihatkan berehat di rumah dan tidak dikunjungi orang lain kerana bimbang dijangkiti virus memandangkan ketahanan badan belum kuat,” katanya.

Menceritakan keadaan sebelum disahkan positif COVID-19, Mohamad Shukri berkata, beliau ke Sarawak atas urusan kerja selama dua hari sebelum pulang pada 12 Mac.

“Selepas pulang, saya mengalami sakit sendi dan pergi ke klinik dua kali, namun masih tidak sembuh selepas beberapa hari sebelum membuat saringan di HRPZ II.

“Tidak lama selepas diambil darah, masa itu tak rasa apa-apa yang pelik pun, melainkan sendi saya sengal sebelum keputusan keluar jam 10 malam hari sama mengatakan saya positif COVID-19.

“Selepas disahkan positif, saya tunggu saja rawatan, sepanjang tempoh rawatan, saya cukup berpuas hati dengan petugas barisan hadapan kerana mereka semua sangat disiplin dan mengikut prosedur operasi standard (SOP).

“Mereka (doktor) jaga pesakit bersungguh-sungguh. Hanya petugas tertentu sahaja dibenarkan berurusan, tidak ada siapa boleh tengok.

“Mereka jaga kerahsiaan cukup teliti, proses pindah wad pun dibuat dengan rapi hingga tiada orang tahu dan biasanya pindah wad dilakukan tengah malam,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada semua pihak termasuk media yang sentiasa mengambil tahu keadaannya sepanjang berada di hospital.

Latest articles

Related articles

spot_img