Covid-19: Rakyat Malaysia Ini Kongsi Pengalaman Berbeza Di Lapangan Terbang Singapura & Malaysia

Usaha Malaysia untuk memutuskan rantaian Covid-19 harus dipuji dan dijadikan contoh pelbagai pihak, terutama negara luar.

Masakan tidak, di kala negara jiran seperti Indonesia misalnya, mencatat peningkatan kes harian, Malaysia kini boleh dikatakan berada di ‘tahap selesa’ apabila tiada lagi kes mendadak dilaporkan.

Sehingga semalam, kes kematian Covid-19 semenjak Malaysia mengumumkan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu, dicatatkan sebanyak 121 kes dan hanya tiga (3) kes baru.

Perkongsian dari seorang rakyat Malaysia, Tan Lay Ching di laman group Facebook ‘Malaysia Quarantine Centre Support Group’ benar-benar membuktikan bagaimana pihak berkuasa Malaysia memandang serius penularan virus berbahaya di dunia yang sehingga kini masih tiada vaksin untuk merawatnya.

Berdasarkan maklumat di Facebooknya, wanita ini berasal dari Klang dan bekerja di Singapura.

Lay Ching, bagaimanapun telah menghantar surat pemberhentian kerja pada Februari lalu, dan mengambil peluang ketika perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang bermula pada 1 Mei lalu untuk kembali ke Singapura untuk menyelesaikan beberapa urusan berkaitan pemberhentiannya.

Berkesempatan berdepan dengan prosedur operasi standard (SOP) di dua buah lapangan terbang antarabangsa, iaitu di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lay Ching memberitahu prosedur dan proses yang dijalankan di Malaysia amat ketat.

Sebaliknya di Singapura, Lay Ching memaklumkan tiada prosedur tegas diambil oleh pihak berkuasa di sana.

“Kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi pada jam 6.30 pagi, proses pelepasan di Jabatan Imigresen berlangsung dengan pantas, mereka tidak memeriksa dokumen sokongan saya (surat kebenaran, memandangkan saya meninggalkan Malaysia ketika tempoh PKPB) sebelum berlepas,” katanya.

Menceritakan lebih lanjut, apabila tiba di KLIA, Lay Ching memberitahu pada mulanya mereka agak terpinga-pinga kerana tidak pasti apakah prosedur yang perlu dilalui.

“Kami perlu pergi ke bahagian kaunter pembayaran untuk imbas kod QR dan ‘check in’ aplikasi MySejahtera, kemudian pergi semula ke kaunter yang sama dan membayar RM60, dan perlu beratur untuk pemeriksaan suhu dan mengisi borang.

Maklumat di borang tersebut diperlukan untuk menjalani ujian saringan.

“Selepas mengisi borang, anda perlu beratur untuk mengambil stiker (yang mempunyai maklumat nama penuh dan nombor kad pengenalan), dan beratur lagi untuk menghantar borang dan menunggu giliran untuk ujian saringan.”

Ujarnya proses ujian saringan tidak mengambil masa yang lama.

Kemudian mereka perlu beratur lagi untuk diberikan surat kuarantin, gelang tangan dan penjelasan tentang tempoh kuarantin di rumah dan perkara yang berkaitan.

Meskipun terpaksa menunggu sehingga empat jam untuk menyelesaikan prosedur pelepasan di lapangan terbang, ujar Lay Ching, perkara itu amat diperlukan lebih-lebih lagi bagi mereka yang terpaksa ke luar negara.

“Akhirnya saya selesaikan pelepasan imigeresen selepas tempoh empat jam di KLIA!

“Terima kasih kepada semua kakitangan KLIA kerana sangat peramah dan amat baik dalam melayani pertanyaan kami, selain membantu mereka yang mempunyai penerbangan susulan untuk pelepasan imigresen,” tulisnya di Facebook.

BBerkaitan

Latest articles