Sebahagian tempat duduk ahli-ahli parlimen di Dewan Rakyat kini diletakkan penghadang lut sinar, sebagai usaha mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pemasangan penghadang itu juga membolehkan sebahagian ahli Parlimen – yang sebelum ini duduk di tempat pegawai di sebelah kiri dewan – dapat duduk semula di blok utama.
“Bagaimanapun masih terdapat sebahagian ahli yang berhormat perlu duduk di tempat duduk pegawai di sebelah kiri dan kanan, dan kerana hanya sebahagian penghadang lut sinar yang dapat dipasang dalam tempoh terdekat ini.
“Oleh demikian saya memohon kesabaran ahli yang berhormat sehingga perkara ini dapat diselesaikan,” katanya.
Azalina, pada pagi tadi turut mengingatkan kewajipan setiap ahli Parlimen untuk memakai pelitup muka pada setiap masa di Dewan Rakyat dan hanya dibenarkan membuka alat pelindung diri tersebut ketika hendak berucap.
“Ahli yang berhormat hendaklah menarik (keluar) penghadang (lut sinar) semasa duduk di dalam dewan untuk memastikan jarak pemisah antara ahli yang berhormat dan tiada kontak rapat antara ahli yang berhormat,” katanya.