COVID-19 : Masyarakat Orang Asli Mesti Diberi Maklumat Yang Tepat Tentang Vaksin

Kerajaan perlu memberikan mesej yang jelas tentang program pemberian vaksin COVID-19 kepada masyarakat Orang Asli supaya mereka faham akan fungsi dan kesan daripada program itu.

Pusat Prihatin Orang Asli (COAC) mahu mesej diberikan jelas dan tepat serta mudah difahami oleh komuniti itu.

Koordinatornya Colin Nicholas berkata, ini bagi memerangi kekeliruan yang timbul dalam kalangan komuniti ini susulan maklumat tidak sahih yang tular di media sosial.

Ini termasuk berita palsu dan pendapat peribadi yang disebarkan oleh pemimpin atau pempengaruh dalam kalangan Orang Asli sendiri.

Tambah beliau, ini mengakibatkan kesukaran untuk meyakinkan Orang Asli supaya menerima vaksin Covid-19.

BACA JUGA : Budak Dua Tahun Mati Lemas Dalam Besen Rumah Pengasuh

Secara amnya, Orang Asli bukanlah golongan antivaksin seperti yang lazim dianggap. Malah selama ini, mereka patuh dengan jadual vaksin untuk bayi baru lahir seperti yang ditetapkan petugas kesihatan, kata Nicholas.

“(Namun) terlalu banyak maklumat yang disebarkan mengenai vaksin Covid-19. Mesej yang tepat pula disampaikan dalam bentuk terlalu teknikal dan sukar difahami.

“Mereka cenderung tertarik dengan mesej yang mengandungi elemen ‘amaran’ dan mencetuskan kebimbangan.

“Sebagai contoh, berita mengenai orang yang meninggal dunia selepas menerima vaksin. Tetapi mereka tidak tahu hanya dua daripada 100,000 (penerima vaksin) yang meninggal dunia.

“Dalam pad itu pihak yang boleh mempengaruhi mereka, seperti pemimpin komuniti dan pegawai tempatan, sendiri merupakan golongan antivaksin,” katanya.

Antara contoh berita palsu yang tersebar dalam komuniti orang Asli adalah mereka akan digunakan sebagai subjek untuk menguji keberkesanan vaksin.

Kata Nicholas, ini bermula daripada artikel di sebuah portal berita yang menyebut cadangan untuk memberi keutamaan kepada Orang Asli dalam program imunisasi kebangsaan, kononnya kerana mereka adalah kumpulan rentan.

“Tetapi ini tidak benar kerana doktor dan petugas barisan hadapan adalah kumpulan pertama yang akan menerima vaksin berkenaan.

“Tidak ada maklumat yang jelas untuk memperincikan hal tersebut kepada komuniti ini,” katanya.

Justeru tegas beliau, kerajaan seharusnya mendekati dan mendidik kelompok pempengaruh dengan pengetahuan mengenai vaksin supaya mereka dapat menyampaikan mesej yang tepat kepada orang lain.

Aktivis Orang Asli, Tijah Yok Chopil daripada suku Semai bersetuju kerana menurut beliau, rata-rata komuniti Orang Asli takut dan ragu-ragu untuk mendapatkan vaksin kerana mereka tidak tahu asal usul dan kandungannya.

“Pada pendapat saya, perlu ada kempen kesedaran yang jelas dirangka khas untuk pemahaman komuniti ini dalam bahasa mereka sendiri,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan akan mengenal pasti NGO dan pemimpin komuniti untuk menjadi sebahagian daripada pasukan petugas khas Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Kita perlukan sokongan mereka bagi memastikan mesej sampai ke kawasan pedalaman,” ujar beliau.

Latest articles

Related articles

spot_img