Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba memaklumkan bahawa Malaysia tidak terburu-buru untuk mendapatkan bekalan vaksin Covid-19 daripada beberapa negara pengeluar yang mendakwa membangunkan rawatan untuk virus tersebut.
Malah setiap negara pengeluar perlu menjalani tiga tahap ujian klinikal supaya vaksin yang dibangunkan itu selamat digunakan ke atas manusia.
“Kita tak terburu-buru nak membeli vaksin dan di negara kita sendiri kita ada pakar-pakar cuba membangunkan vaksin di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) yang dikendalikan oleh Pusat Penyelidikan Klinikal Malaysia, MOSTI dan universiti awam.
“Sebelum kita nak beli vaksin, dia perlu melalui fasa satu, dua dan mesti melalui fasa ketiga ujian klinikal dibuat ke atas manusia.
“Ujian fasa ketiga pun kita tak buat di Malaysia, pertama kita perlukan contoh manusia sendiri untuk kita buat ujian klinikal,” katanya dalam sidang media di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.
Ujar Adham, KKM hanya akan membuat keputusan membeli vaksin Covid-19 sekiranya pihak mereka meyakini ketulenan hasil daripada sesebuah pengeluar.
Beberapa negara seperti China, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Rusia mendakwa berjaya menghasilkan vaksin Covid-19, namun menurut Adham, kesemua mereka masih belum melepasi fasa ketiga ujian klinikal.
Tambahnya lagi, KKM sentiasa berhubung dengan pihak pengeluar vaksin untuk mendapatkan perkembangan ujian klinikal yang dijalankan.