More

    Covid-19: Kubang Pasu, Padang Terap Diumum Kawasan PKPD Berkuatkuasa Hari Ini

    Kerajaan hari ini melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di empat kawasan melibatkan Kubang Pasu dan Padang Terap, Kedah.

    Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kerajaan negeri Kedah memohon pelaksanaan berkenaan selepas jumlah jangkitan Covid-19 di negeri itu meningkat secara mendadak akibat kluster Sivagangga.

    Kawasan yang dikuatkuasakan PKPD itu ialah radius satu kilometer dari Restoran Nasi Kandar Salleh, Pekan Napoh melibatkan Mukim Hosba dan Kubang Pasu.

    Turut terlibat ialah Kampung Pida Satu, Megat Dewa (Mukim Ah, Kubang Pasu), Kampung Bendang Dalam (Mukim Binjal, Kubang Pasu) dan Kampung Ulu, Padang Sanai (Padang Terap).

    “Penguatkuasaan PKPD secara pentadbiran ini ini dilaksanakan setelah kerajaan mengambil kira 11 kes baharu yang berpunca dari Kluster Sivagangga di Kedah, melibatkan empat mukim berkenaan.

    “Mesyuarat Khas Mengenai Pelaksanaan PKP hari ini telah meluluskan permohonan kerajaan Kedah untuk melaksanakannya secara pentadbiran di kawasan tersebut dari hari ini (3 Ogos) sehingga 30 Ogos ini,” katanya pada sidang media Covid-19 di Bangunan Parlimen, hari ini.

    Pelaksaan PKPD, menurut Ismail, menggunapakai prosedur operasi standard (SOP) yang sama dilaksanakan sebelum ini selain mengadakan sekatan jalan raya di setiap laluan keluar masuk dan penutupan beberapa jalan utama sekitar.

    Kata beliau, petugas Kementerian Kesihatan (KKM) akan membuat ujian saringan ke atas kira-kira 7,000 penduduk di empat kawasan berkenaan.

    “Kawasan masjid dan rumah ibadat dalam kawasan itu turut ditutup bagi aktiviti keagamaan termasuk solat Jumaat, manakala jemaah hanya dibenarkan seramai tiga orang sahaja untuk melaksanakan solat berjemaah di masjid tersebut,” katanya.

    Berita Berkaitan

    Berita Terkini