Covid-19 : Jangan Mudah Leka Dan Alpa!

INI fakta dan bukan cerita kosong untuk bermain persepsi semata-mata. Situasi sebenar di pusat-pusat rawatan pesakin Covid-19 sebenarnya makin runcing dan genting dikala ini.

Walaupun di luar rumah kita lihat keadaan seperti tenang dan banyak pintu kedai, restoran dan pusat-pusat perniagaan dibuka seperti tiada apa-apa berlaku, sebenarnya di dalam wad dan hospital keadaan sebaliknya.

Fakta dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberitahu kadar penggunaan katil di hospital serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) telah mencecah 100 peratus penggunaan.

Walaupun tak semua PKRC begitu, namun ia berlaku di lima negeri seperti Selangor, Johor, Terengganu, Kelantan dan Sarawak sehingga memaksa pelan kontigensi digerakkan segera.

Untuk itu, Menteri Kesihatan, Dr. Adham Baba berkata, pihaknya terpaksa menukar fungsi kegunaan katil di wad biasa kepada katil Covid-19 dan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi menghadapi pertambahan pesakit Covid-19 yang terus meningkat.

Apatah lagi sudah lebih kurang sebulan, kes harian yang dicatatkan dalam negara ini melepasi angka 4,000 kes. Contohnya pada minggu ke 23 (6 hingga 12 Jun 2021) kes positif kumulatif sebanyak 652,204 kes, manakala ketika minggu ke 24 (13 hingga 19 Jun 2021), kes positif kumulatif terus meningkat sebanyak enam peratus iaitu kepada 691,115 kes.

Begitu juga dengan angka kes kematian kumulatif antara dua minggu tersebut. Ia telah mencatatkan peningkatan sebanyak 13.1 peratus, suatu angka peningkatan yang agak tinggi.

Walaupun kita sedang berada dalam ‘total lockdown’, namun varian kes ini makin
mengganas sehingga kes melibatkan ICU meningkat dalam dua minggu tersebut. Minggu ke 23 mencatatkan 905 kes, manakala minggu berikutnya meningkat sebanyak 0.6 peratus.

Sekiranya Prosedur Operasi Standard (SOP) hanya sekadar diperketatkan tanpa sebarang tindakan lebih agresif, tidak mustahil senario sebegini akan terus berleluasa dan mungkin bertambah teruk.

Ya, kita tak nafikan segelintir dari kita amat cakna terhadap nasib sektor ekonomi dan aliran wang dalam negara. Namun, sekiranya makin hari makin bertambah rakyat yang mengidap Covid-19 dan makin ramai yang meninggal dunia, maka apakah ertinya kepada perkembangan ekonomi negara?

Malahan ada juga segelintir pekedai, penjaja, usahawan dan peniaga kecil yang bukan
bertambah untung, tetapi mereka rugi teruk akibat daripada keadaan yang serba tidak
menentu.

Justeru langkah paling baik bagi mengekang penularan virus maut ini adalah dengan
mengambil kira cadangan pakar-pakar kesihatan dari KKM supaya melaksanakan ‘total
lockdown’ seperti yang pernah kita lakukan pada Mac dan April 2020 lalu.

Sekiranya ia dapat dilakukan, KKM menjangkakan kes harian menurun dengan baik dan gelombang ketiga ini dapat dihentikan.

Seandainya ‘total lockdown’ dilakukan di seluruh negara, maka kerajaan juga perlu memikir soal kebergantungan ‘perut’ rakyat yang tiada pendapatan atau terjejas. Nak tak nak, dalam apa jua cara sekali pun, kerajaan perlu pastikan setiap isi rumah dalam negara ini mempunyai bekalan makanan yang cukup untuk hidup.

Apabila kita telah kembali pulih dari keadaan teruk ini, barulah kita sama-sama berusaha untuk memulihkan semula sektor ekonomi rakyat kita.

Itulah caranya untuk kita pulihkan keadaan semasa. Kerana kita telah cuba dan ia ternyata berkesan sehingga mendapat pengiktirafan dan pujian antarabangsa.

Berbanding kita berusaha untuk seimbangkan proses pemulihan antara kes Covid-19 dengan sektor ekonomi secara serentak, ia masih belum membuahkan hasil yang diharapkan walaupun kita telah berusaha sejak Oktober 2020 lagi.

Rasailah sedikit perasaan dan keletihan para frontliners kesihatan dan anggota keselamatan dalam negara ini. Mereka sudah letih dan lelah untuk berhadapan dengan situasi yang tiada penghujung.

Ayuh, sama-samalah kita saling bantu membantu menjaga diri, menjaga keluarga, menjaga insan tersayang sehingga berjaya mencipta kejayaan melawan virus maut Covid-19 di tahun 2021 ini.

Sarfarizmal Saad
Penulis daripada Pertubuhan Ikatan Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ISLAMI) Putrajaya.

Latest articles

Related articles

spot_img