More

    Covid-19: China, Russia Dan UK Antara Negara Pilihan Malaysia Untuk Beli Vaksin

    Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi memaklumkan bahawa Malaysia bersedia membeli vaksin Covid-19 dari mana-mana negara yang berjaya membangunkan rawatan itu terlebih dahulu.

    Timbalan menterinya, Ahmad Amzad Hashim berkata negara China, Rusia dan United Kingdom (UK) menjadi antara pilihan Malaysia, dimana pembelian vaksin itu akan dilakukan secara pukal dengan proses pembotolannya dibuat di dalam negara sebaik sahaja Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menentukan vaksin yang mana akan diguna pakai.

    “Setakat ini, kementerian melalui perbincangan dengan pelbagai negara, antara lain terbabit dalam Gabungan Inovasi Persediaan Wabak (CEPI) yang mana membolehkan kementerian berhubung rapat dengan kajian dijalankan pelbagai pihak dalam mendapatkan vaksin yang sedang dibangunkan.

    “Ia membolehkan sekiranya ada mana-mana negara yang mencapai tahap fasa tiga iaitu kajian klinikal selesai dan mendapat kelulusan, serta KKM menentukan yang mana vaksin diterima untuk dipakai di Malaysia, kita akan beli secara pukal dengan proses pembotolan dilakukan di dalam negara,” katanya sebagai menjawab soalan tambahan oleh Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin di Dewan Rakyat, hari ini.

    Malah melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), kementerian akan menubuhkan National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) bagi membantu negara ketika berdepan cabaran Covid-19.

    NTIS berperanan menjadi platform membolehkan syarikat permulaan, penyelidik, penggerak inovasi, Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dan usahawan berteknologi tinggi menguji produk, perkhidmatan, model perniagaan dan mekanisme penyampaian dalam persekitaran yang sebenar.

    “Selain itu, agensi di bawah kementerian turut melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk memasang lapan unit ‘Covid-19 screening booths’ menggunakan teknologi ‘nano-coating’ nyah-kuman di beberapa hospital dan pusat kesihatan daerah (PPD).

    “Kita juga menyelaras makmal diagnostik saringan dan pengesahan Covid-19 untuk meningkatkan kapasiti makmal yang terbabit dalam pengesanan virus ini. Sebanyak 10 makmal diagnostik bergerak aktif menjalankan ujian saringan Covid-19 sejak 30 Mac lalu, ” katanya.

    Bukan itu sahaja kementerian itu turut bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi membantu KKM melalui Pasukan Khas Saringan Covid-19 yang terdiri daripada saintis pakar dalam bidang virologi, mikrobiologi, biologi molekul dan penyakit berjangkit turut dilaksanakan untuk menjalankan saringan Covid-19.

    Berita Berkaitan

    Berita Terkini