Covid-19: ‘Best tinggal di kolej, yang gelisah sangat nak balik kenapa?’

  • Dilaporkan setakat ini, lebih 80,000 pelajar institut pengajian tinggi awam dan swasta tinggal di kampus dan kolej sepanjang PKP dilaksanakan dan ia tidak termasuk dengan mereka yang tinggal di rumah sewa
  • Majoriti memaklumkan mereka menerima bekalan makanan yang lebih daripada mencukupi
  • Pihak kolej telah adakan bnyk aktiviti untuk pelajar. Antaranya zumba dan sesi sembang santai (guna Zoom)

Majoriti pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang kini terkandas di kampus ternyata dalam keadaan yang selesa dan mendakwa tiada berlaku pengabaian seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Mereka terkandas di kampus masing-masing, tidak dapat pulang ke kampung sejak 18 Mac lalu disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) rata-ratanya menyatakan bekalan makanan yang diterima mencukupi daripada pihak pengurusan IPT.

Malah mereka juga berada dalam keadaan selesa dan selamat.

Ini adalah hasil tinjauan yang dilakukan oleh seorang pengguna Twitter yang menggunakan nama Khairul Azri (@mkhairulazri) hari ini melalui bebenang di Twitternya.

Ciapannya dimulakan dengan bertanyakan mengenai perkembangan semasa dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi, bekalan makanan sehingga keadaan mental mereka yang lama berjauhan daripada keluarga.

“Boleh tak mana-mana student (pelajar) IPT yang duduk di kolej sepanjang PKP, reply tweet (balas ciapan) ni keadaan dalam bilik, aktiviti yang dilakukan, ada bantuan makanan atau tidak dan paling (penting) state of mental (keadaan mental) ketika ini. Nak tahu keadaan sebenar dari banyak sumber..,” tulisnya.

Kemudiannya ramai yang membalas ciapan Khairul dan masing-masing memaklumkan keadaan semasa mereka di kampus.

Antaranya respon daripada penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Gombak.

Majoriti memaklumkan mereka menerima bekalan makanan yang lebih daripada mencukupi, disamping dibantu pihak pengurusan kolej masing-masing untuk membeli barangan keperluan menerusi tempahan.

Mereka juga menyatakan tidak perlu gelisah untuk balik kampung tatkala PKP masih dikuatkuasakan demi membendung Covid-19 malah ada yang berkongsi tentang aktiviti dilakukan bersama rakan-rakan untuk mengisi masa terluang seperti perlawanan persahabatan sesama mereka yang menjai penggemar permainan online termasuklah bersenam.

“Hari ini UPM kasi coffee nescafe latte satu pack…bertambah stock coffee.. best je duduk kat kolej, yang undergrad gelisah sangat nak balik kenapa?,” tulis Hidayat Mohd Yusof.

“UTeM, makanan provided by uni include makanan ringan (maggi), tiga kali sehari. Just order (hanya tempah) barangan lain, nanti dia belikan. Aktiviti: universiti buat tournament untuk gamers. Uni punya wifi setakat main dota and tengok Netflix takdehal,” kata Mustang.

“UNIMAS here! Bilik agak kemas, paling banyk mengemas waktu PKP ni. Pihak kolej telah adakan bnyk aktiviti untuk pelajar. Antaranya zumba dan sesi sembang santai (guna Zoom). Ada bantuan makanan tiga kali sehari. Stabil. Uni juga menyediakan saluran untuk mental health screening,” kata aiman_xmzx.

“Kami okey je.. bantuan UTHM kasi bahan asas untuk masak dan roti, lima hari sekali dapat. Banyak sebab ada lapan orang kat rumah sewa ni. Face with tears of joy seorang dapat 1 kilgram beras ahhh darab lapan dah berapa minggu,” kata Muhammad Syukri Ngah Abdul Rahman.

“Di UiTM Tapah, pelajar diberikan makanan percuma tiga kali sehari. Aktiviti kami selalunya bersenam dengan mulut iaitu makan. Banyak komitmen diberikan dari semua staff UiTM dalam bentuk makanan dan sumbangan tidak kira pelajar kolej ataupun luar, semua diambil berat oleh mereka,” ujar Ajim_zz.

Bukan hanya menerima respon positif dalam kalangan penuntut IPT malah ada ahli keluarga yang menyifatkan keadaan di kediaman kampus adalah selamat.

“Here bilik adik i dekat UiTM Dungun. Hahahaha so far (setakat ini) semua okay. I as (saya sebagai kakak) dan ibu ayah saya pun ok sahaja adik saya di sana. Kaita orang faham InsyaAllah,” tulis Boo.

Untuk rekod, ketika ini pelajar terjejas yang tidak dibenarkan pulang menginap di asrama yang disediakan pihak universiti dan kerajaan menanggung kos makanan buat mereka.

Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan pelajar juga meminta pelajar yang masih berada di kampus dibenarkan pulang sepanjang tempoh lanjutan PKP ini.

Dilaporkan setakat ini, lebih 80,000 pelajar institut pengajian tinggi awam dan swasta tinggal di kampus dan kolej sepanjang PKP dilaksanakan dan ia tidak termasuk dengan mereka yang tinggal di rumah sewa.

Selain itu, Kementerian Kesihatan (KKM) juga akan meneliti sebarang keputusan untuk membenarkan pelajar yang masih di kampus pulang ke kampung halaman masing-masing seperti diminta oleh sesetengah pihak sebelum ini.

Malah Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menjelaskan perkara itu penting kerana ia akan membabitkan pergerakan sejumlah besar pelajar jika mereka dibenarkan pulang.-MalaysiaGazette

BBerkaitan

Latest articles