COO Prolintas Mengaku Tidak Bersalah Terima Rasuah RM70,000

KUALA LUMPUR: Ketua pegawai operasi (COO) sebuah konsesi lebuh raya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM70,000.

COO Kumpulan Prolintas, Rostam Shahrif Tami, 59, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Rosli Ahmad.

Tertuduh yang kini diberi cuti dari bertugas, didakwa menerima rasuah daripada wakil syarikat Satunas Technologies Sdn Bhd sebagai balasan bagi penganugerahan pakej kerja Projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) kepada syarikat tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 12 April 2023 di kawasan tempat letak kereta Masjid Ibnu Mas’ud di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur.

Rostam dituduh mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Sabit kesalahan, beliau akan dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda minimum RM10,000.

Mahkamah menetapkan jaminan RM60,000 dengan syarat tambahan bahawa tertuduh perlu menyerahkan pasport dan melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan.

Rostam diwakili peguam Dzulkifli Ahmad, manakala pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nor Diana Nor Azwa.

Difahamkan Rostam akan berdepan dua lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor, esok.

Tarikh sebutan kes ditetapkan pada 27 Februari ini.

 

BBerkaitan

Latest articles