MELAKA: Pejabat Ketua Menteri Melaka (CMO) menafikan sekeras-kerasnya penularan poster berunsur palsu yang mendakwa Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh akan mengadakan Majlis Sumpah Laknat pada Jumaat ini bagi menjawab pelbagai tuduhan fitnah terhadap beliau.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan malam ini, CMO menjelaskan bahawa poster yang tular itu bukan dikeluarkan oleh pihak rasmi dan tidak mewakili sebarang agenda sebenar pihak Ketua Menteri.
“Untuk makluman sahabat media, poster yang dilampirkan adalah palsu seperti yang sedang berleluasa di platform media sosial.
“Semua poster rasmi berkaitan sesi sidang media hanya dikeluarkan melalui media sosial rasmi YAB Ketua Menteri Melaka. Terima kasih,” menurut kenyataan tersebut.
Penafian itu susulan penyebaran meluas sebuah poster yang mengiklankan kononnya satu majlis khas sumpah laknat akan dianjurkan oleh Ab Rauf bagi menangkis pelbagai dakwaan termasuk isu tular berkaitan rakaman audio didakwa mirip suaranya.
Pada April lalu, Ab Rauf telah menolak dakwaan itu dan menyifatkan penyebaran beberapa audio yang dikaitkan dengannya sebagai satu bentuk sandiwara politik yang dimainkan oleh pihak tertentu yang kecewa.
Menurutnya, pihak terbabit cuba memanipulasi isu tersebut secara spekulatif untuk meraih simpati dan mengalih perhatian daripada masalah mereka sendiri.
Audio berdurasi hampir empat minit itu mula tular sehari selepas penahanan Timbalan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
CMO mengingatkan orang ramai agar hanya merujuk saluran rasmi untuk mendapatkan maklumat sahih dan mengelakkan penyebaran berita palsu.