Cik Kiah yang namanya sering disebut oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kini sudah ada kawan baru. Namanya ialah Che Nah yang berniaga Nasi Dagang di lot parkir kereta di Jalan Medan Setia 1, Bukit Damansara.
Che Nah atau nama sebenarnya Minah Awang hari ini menerima lesen dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur hari ini daripada Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa yang menyerahkan sendiri lesen berkenaan kepada beliau.
Annuar berkata langkah itu adalah satu isyarat bahawa kerajaan hendak menggalakkan orang ramai yang ingin bekerja dengan elok, halal, mengikut peraturan apatah lagi kalau hendak menceburi bidang perniagaan.
“Kita tahu selepas Covid-19 nanti terutamanya banyak orang hilang kerja.. Sebelum daripada ini, kehidupan di bandar Kuala Lumpur ini mencabar dan semua orang perlu menambah pendapatan keluarga masing-masing.
“Kalau warga kota yang ingin bekerja secara halal, secara betul, secara mematuhi peraturan saya hendak menggalakkan apa lagi yang hendak menceburi bidang perniagaan,” katanya.
Menurut beliau, orang ramai boleh memulakan perniagaan kecil-kecilan dulu sebagai permulaan.
“Mungkin mula kecil dulu tak apa, tapi kena kerjasama dengan DBKL.. tempat yang sesuai, tidak menghalang orang ramai, tidak menghalang lalu lintas, jaga kebersihan… Kalau itu semua dapat dipatuhi, saya mahukan Bandaraya (DBKL) memberi galakan,” kata beliau.
Che Nah kini diangkat menjadi contoh sama-sama dengan Makcik Kiah kerana menjalankan perniagaan sendiri walaupun hidup susah dan sudah kematian suami.
Dia menjual Nasi Dagang, Nasi Kerabu, Nasi Minyak dan Akok. Masakan Che Nah disukai ramai dan premis perniagaannya sentiasa penuh dengan pelanggan tetapnya.
BACA JUGA – DBKL Beku Lesen Minuman Keras
Dengan tema “Cik Nah Nasi Dagang..MMMM Sedap” memang mini van Cik Nah popular di kawasan Bukit Damansara. Cik Nah ini layak ditabal sebagai ikon melawan kemiskinan bandar.
Dulu Cik Nah berniaga bersama suaminya. Selepas suaminya meninggal dunia beliau berniaga sendiri. Gigih bangun awal pagi setiap hari dan kemudian memandu van untuk berniaga mencari rezeki.
Ramai lagi insan seperti Cik Nah yang berjuang mencari rezeki halal setiap hari demi anak dan keluarga. Namun mereka tiada lesen. Jangan khuatir kerana kini DBKL telah mempermudahkan segala urusan.
Annuar berkata pihaknya sudah memberi arahan kepada DBKL untuk menggalakkan orang ramai bekerja sendiri.
“Saya akan buat pengumuman berapa tempat yang kita dah kenalpasti yang boleh jadi tempat berniaga termasuk dalam pusat membeli-belah,” katanya.
Beliau berkata ada lebih dari 100 lot yang akan dibuka di pusat beli-belah Berjaya Times Square dan di kawasan jejantas untuk dibuka.
“Kita sedang berunding dengan beberapa syarikat francais untuk membuka kiosk makanan.
“Kita bukan sahaja hendak tunggu orang datang minta (peluang), saya hendak menawarkan… Yang saya risau orang duduk Kuala Lumpur tak nak kerja,” katanya. – TRI