China Lancarkan Long March 5 Untuk Misi Bawa Pulang Sampel Batuan Bulan

Negara China baru sahaja melancarkan sebuah kapal angkasa tanpa pemandu hari ini dengan misi membawa pulang sampel batuan dari bulan.

Pelancaran itu adalah antara percubaan pertama dilakukan oleh banyak lagi negara lain selain China yang mahu mendapatkan contoh sampel batu dari satelit semulajadi bumi itu.

Roket dikenali sebagai Long March 5 yang membawa misi Chang’e 5, sempena nama dewi mistik kaum Cina, berlepas dari Pusat Angkasa Lepas Wenchang, di Hainan, selatan China pada jam 4.30 pagi waktu tempatan, lapor agensi berita rasmi Xinhua.

Beijing membelanjakan bilion ringgit bagi menjayakan program angkasa lepas di bawah kendalian pihak tentera, dengan harapan memiliki kru stesen angkasa lepas menjelang 2022 dan seterusnya menghantar manusia ke bulan.

Matlamat misi itu ialah membawa pulang batu dan tanah bulan bagi membolehkan saintis mengkaji asal usulnya, formasi dan aktiviti gunung berapi di permukaan.

Misi asal yang dirancang pada tahun 2017 tertangguh kerana kegagalan enjin pada roket Long March 5.

Jika misi itu berjaya, China adalah negara ketiga berjaya memperoleh contoh dari bulan, selepas Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Soviet, masing-masing pada tahun 1960-an serta 1970-an.

Misi kapal angkasa itu ialah mengumpulkan dua kilogram (4.5 paun) mineral pada permukaan di kawasan belum diterokai, dikenali sebagai Oceanus Procellarum atau Lautan Ribut, yang mempunyai kesan aliran larva.

Kapal angkasa itu dijangka mendarat pada akhir November dan mengumpul mineral dalam tempoh sehari waktu di bulan yang bersamaan dengan 14 hari di bumi.

Kesemua sampel berkenaan dijangka kembali ke bumi dalam kapsul yang akan mendarat di utara Mongolia awal Disember, lapor agensi angkasa lepas AS, Pengurusan Aeronautik dan Angkasa Lepas Nasional (NASA).

Komen

Berkaitan

Media Sosial

19,954FansLike
3,871FollowersFollow
21,200SubscribersSubscribe

Terkini