KUALA LUMPUR: Pelakon, Rozita Che Wan telah membayar sebahagian daripada hutang pinjaman Majlis Amanah Rakyat (MARA) sejumlah RM550,000.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata bayaran itu diperoleh sehingga Jumaat lalu, manakala baki hutang tertunggak hendaklah dijelaskan sepenuhnya dalam tempoh 3 bulan sebelum penghujung Mac.
Susulan itu, beliau berkata tindakan pelaksanaan penghakiman terhadap Rozita ditangguhkan.
“Sudah saya tegaskan bahawa MARA tidak akan berkompromi dengan segala tindakan untuk mendapatkan balik setiap sen wang rakyat yang diamanahkan.
“Ini akan membolehkan wang ini dimanfaatkan pula kepada orang lain yang amat memerlukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada 10 Disember lalu, kediaman Rozita yang juga usahawan terbabit diserbu pegawai MARA bersama peguam dan wakil mahkamah berikutan dakwaan gagal melunaskan pinjaman bernilai hampir RM1 juta.
Difahamkan, pinjaman berjumlah RM960,000 itu dibuat syarikat pelakon tersebut, RCW Worldwide Sdn Bhd dengan Rozita dan anak lelakinya iaitu Ammar Effendy sebagai penjamin.
Pada 24 Disember lalu, acara lelongan awam membabitkan 34 barangan milik Rozita dengan jumlah keseluruhan bernilai RM902,012.46 sepatutnya diadakan, namun ditangguh atas permohonan pelakon itu.