CGS MY Selesaikan Tawaran RM94.5 Juta YTL Hospitality REIT

KUALA LUMPUR: CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd (CGS MY) berjaya menyelesaikan tawaran saham persendirian bernilai RM94.5 juta bagi YTL Hospitality REIT.

CGS MY bertindak sebagai penasihat utama dan penyelaras bagi transaksi berkenaan.

Dalam satu kenyataan, penyedia perkhidmatan kewangan bersepadu itu berkata tawaran berkenaan menerima minat tinggi daripada pelabur institusi.

“Nilai perolehan tawaran ini didorong terutamanya oleh asas pelanggan institusi CGS MY dengan penyertaan daripada dana tempatan dan asing.

“Syarikat insurans dan pengurus aset membentuk sebahagian besar bidaan yang diterima,” katanya.

Menurut firma itu, permintaan kukuh terhadap tawaran berkenaan mencerminkan keyakinan berterusan pelabur terhadap portfolio serta prospek pertumbuhan YTL Hospitality REIT, di samping daya tahan sektor hospitaliti dan pelancongan Malaysia ketika aktiviti pelancongan kembali pulih di seluruh rantau ini.

“Kami berbesar hati dapat menyokong YTL Hospitality REIT dalam tawaran saham persendirian ini selain menyaksikan permintaan yang amat menggalakkan daripada pelabur institusi.

“Penyertaan daripada dana tempatan dan asing, khususnya syarikat insurans dan pengurus aset, menunjukkan minat berterusan pelabur terhadap aset REIT Malaysia yang berkualiti tinggi,” kata Ketua Negara CGS MY, Alan Inn Wei Loon.

CGS MY berkata pihaknya kekal komited menyokong syarikat Malaysia dalam mengakses pasaran modal serta memudah cara peluang pelaburan untuk pelabur institusi, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan berterusan pasaran modal negara. – BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles