Ceroboh Tanah: Jangan Roboh Ikut Suka Hati Tanpa Proses Mahkamah

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor menegaskan tiada mana-mana pihak dibenarkan mengambil tindakan sendiri termasuk merobohkan struktur yang didakwa menceroboh tanah tanpa melalui proses mahkamah.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebarang isu pencerobohan termasuk pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan perlu ditangani mengikut peruntukan Kanun Tanah Negara serta undang-undang berkaitan.

Mengulas insiden perobohan kuil di Rawang semalam, beliau memaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan dan kes itu akan melalui saluran perundangan sewajarnya.

Menurutnya, kejadian berkenaan menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat dan perlu dikendalikan secara berhati-hati bagi mengelakkan ketegangan kaum serta agama yang boleh menjejaskan keharmonian negeri.

Amirudin menjelaskan, terdapat dua kategori utama membabitkan rumah ibadat tidak sah iaitu yang dibina di atas tanah milik kerajaan negeri dan yang didirikan di atas tanah persendirian.

Bagi tanah milik kerajaan, beliau mengarahkan prosedur sedia ada diperkemaskan termasuk tindakan lebih tegas di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) serta penambahbaikan Tatacara Pengendalian Piawai Jawatankuasa LIMAS.

Untuk tanah persendirian pula, katanya, pemilik tanah perlu mendapatkan perintah mahkamah melalui peguam sebelum sebarang pengosongan atau perobohan boleh dilaksanakan.

Dalam pada itu, Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Selangor turut memutuskan tiga langkah utama jika berlaku pencerobohan.

Pertama, laporan polis perlu dibuat bagi membolehkan siasatan dan pendakwaan dijalankan jika terdapat kesalahan.

Kedua, notis rasmi dihantar kepada penceroboh serta memaklumkan kepada Pejabat Daerah dan Jawatankuasa Keselamatan Daerah (JKD) yang telah diaktifkan di semua daerah.

JKD akan bertindak sebagai pengantara dengan memanggil semua pihak berkaitan termasuk pemilik tanah, wakil rumah ibadat, PDRM dan PBT bagi mencari penyelesaian terbaik.

Jika rundingan gagal, JKD akan menasihatkan pemilik tanah supaya membawa kes ke mahkamah.

Pendekatan ini, tegas Amirudin, penting bagi memastikan setiap tindakan dibuat melalui saluran undang-undang sekali gus mengelakkan sebarang insiden yang boleh mencetuskan ketegangan awam.

BBerkaitan

Latest articles