KUALA LUMPUR: Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, tampil memohon maaf susulan tindakannya yang terlibat dalam sambutan ‘champagne shower’ semasa majlis penyerahan trofi kemenangan Grand Prix Singapura baru-baru ini.
Dalam kenyataan rasmi, Tengku Muhammad Taufik menjelaskan bahawa kejadian itu berlaku secara spontan kerana terlalu teruja meraikan kejayaan pasukan Mercedes-AMG PETRONAS Formula One Team pada musim ini.
“Saya ingin menjelaskan bahawa saya tidak meminum sebarang minuman keras. Namun, sebagai seorang Muslim, saya akui bahawa saya sepatutnya tidak terlibat dalam apa-apa bentuk sambutan seperti itu,” katanya.
Beliau mengakui kekhilafan tersebut dan memohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung dengan tindakannya.
“Saya mengambil sepenuh tanggungjawab atas perbuatan saya dan amat kesal sekiranya ia menimbulkan rasa kecewa atau ketidakselesaan dalam kalangan rakyat,” tambahnya.
Sebelum ini, tular rakaman video daripada siaran langsung acara itu yang memaparkan Tengku Muhammad Taufik turut berada di atas podium bersama pelumba pasukan Mercedes, ketika mereka meraikan kemenangan dengan semburan arak iaitu tradisi kebiasaan dalam dunia perlumbaan Formula 1.
Tindakan tersebut mencetuskan gelombang kritikan di media sosial, dengan banyak pihak menyifatkannya tidak sensitif terhadap kedudukannya sebagai seorang Islam dan juga sebagai ketua kepada syarikat minyak dan gas nasional, PETRONAS.










