CEO Nvidia yakin tiada cip AI dialihkan ke China

TAIPEI – Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia Corp, Jensen Huang yakin bahawa tiada bukti cip kecerdasan buatan (AI) keluaran syarikatnya dialihkan secara haram ke pasaran China.

Beliau menegaskan, produk utama Nvidia seperti sistem Grace Blackwell yang seberat hampir dua tan adalah terlalu besar untuk diseludup secara mudah merentasi sempadan.

“Tiada bukti sebarang pengalihan cip AI berlaku. Sistem ini terlalu besar untuk diseludup dalam poket atau beg anda,” katanya dalam satu wawancara bersama Bloomberg News di Taipei hari ini.

Huang menambah, para pelanggan Nvidia juga menyedari peraturan berkaitan sekatan perdagangan dan melaksanakan pemantauan kendiri secara ketat bagi memastikan tiada pelanggaran berlaku.

“Perkara penting adalah negara-negara dan syarikat-syarikat yang menjadi pelanggan kami memahami larangan ini. Mereka sangat berhati-hati dan mengawasi aktiviti mereka sendiri,” jelas beliau.

Kenyataan Huang ini dikeluarkan selepas Presiden Donald Trump baru-baru ini membatalkan peraturan “AI diffusion rules” yang diperkenalkan pentadbiran terdahulu bagi menghalang produk AI AS daripada dialihkan ke China.

Keputusan Trump tersebut turut membuka peluang kepada negara Timur Tengah seperti Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk memperolehi teknologi terbaharu Nvidia, seterusnya memperkukuhkan keupayaan AI mereka.

“Dengan unjuran yang tepat, kami mampu menyediakan teknologi yang diperlukan semua pihak,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Huang turut menyuarakan bantahan terhadap sebarang sekatan perdagangan teknologi Amerika, sambil menegaskan bahawa teknologi AS sepatutnya dimanfaatkan secara maksimum di peringkat global.

“Sekatan terhadap teknologi Amerika adalah langkah yang tidak tepat. Kita sepatutnya memaksimumkan penggunaan teknologi Amerika di seluruh dunia,” tambah beliau.

Terdahulu, penghantaran cip AI Nvidia menjadi isu sensitif selepas beberapa negara, termasuk Singapura, melancarkan siasatan mengenai dakwaan pelanggaran sekatan perdagangan AS ke atas China.

BBerkaitan

Latest articles