CEO Hooray X Fest Raya Mengaku Tak Bersalah

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) festival beli-belah Hooray X Fest Raya dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan menipu berhubung penganjuran festival itu, dua bulan lalu.

Muhammad Alif Hakim Jamal, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan itu dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Marisqa Khalizan.

Mengikut pertuduhan, Alif Hakim didakwa menipu Siti Wardina Basir dengan memperdayakan mangsa dalam urusan penyewaan tapak Hooray X Fest di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM1,500.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di WTC pada jam 2.34 pagi pada 19 April lalu, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum maksimum penjara 10 tahun dan sebat serta boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Alif Hakim tiba di Mahkamah Majistret kira-kira jam 9.25 pagi tadi.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Noraisyah Mohamed Zanyuin menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Zamri Idrus yang mewakili Alif Hakim memohon jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya menghadapi penyakit buah pinggang dan perlu melakukan dialisis tiga seminggu dengan kos mencecah RM1,050.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Marisqa kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Beliau menetapkan sebutan kes pada 27 Julai ini bagi serahan dokumen.

Media sebelum ini melaporkan karnival jualan sempena Aidilfitri itu yang sepatutnya bermula 18 April lalu di WTC dibatalkan di saat akhir akibat penaja utama menarik diri.

BBerkaitan

Latest articles