CEO GISBH dan Isteri Didakwa Bersama 20 Individu Lain Atas Pertuduhan Ahli Kumpulan Jenayah Terancang

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Datuk Nasiruddin Mohd Ali, dan isterinya, Azura Md Yusof, telah didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang. Turut didakwa ialah anak bekas pengasas Al-Arqam, Mohammad Adib At-Tarmimi, bersama 19 individu lain yang menghadapi pertuduhan yang sama.

Kesemua tertuduh terdiri daripada 13 lelaki dan 9 wanita, termasuk beberapa individu terkenal seperti Mohd Shukri Mohd Noor, Muhammad Afdaluddin Latif, Mohamad Sayuti Omar, dan lain-lain. Mereka didakwa atas kesalahan yang didakwa berlaku antara Oktober 2020 hingga 11 September 2024 di premis GISBH di Bandar Country Homes, Rawang.

Pertuduhan tersebut dilakukan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan. Kesemua tertuduh berusia antara 27 hingga 72 tahun.

Dalam prosiding di hadapan Hakim Lailatul Zuraida Harron @ Harun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes ini berada di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) berada di bawah kuasa Mahkamah Tinggi

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Razali Che Ali, memohon mahkamah menetapkan tarikh untuk sebutan kes akan datang. Sementara itu, peguam yang mewakili semua tertuduh, Datuk Rosli Kamaruddin, meminta panduan mahkamah berhubung permohonan jaminan.

Rosli turut menjelaskan bahawa pihak pembelaan ingin mengetahui sama ada permohonan jaminan terhadap anak guamnya boleh didengar di mahkamah ini atau perlu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, memandangkan kes ini melibatkan SOSMA.

Tarikh sebutan kes akan ditentukan dalam masa terdekat.

BBerkaitan

Latest articles