CEO Batu Mengaku Tidak Bersalah Miliki Video, Gambar Lucah

KUALA LUMPUR: Pempengaruh media sosial yang juga dikenali sebagai CEO Batu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Gombak hari ini atas pertuduhan memiliki video dan gambar lucah dalam telefon bimbitnya, dua bulan lalu.

Tertuduh, Muhamad Iqbal Muhamad Nor, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Chai Guan Hock.

“Tidak mengaku bersalah dan saya mohon dibicarakan,” katanya ketika prosiding.

Mengikut pertuduhan, Muhamad Iqbal didakwa menyimpan video dan gambar berunsur lucah dalam galeri telefon bimbit jenama Nubia Neo 2 miliknya yang berwarna hitam.

Telefon itu ditemui pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak kira-kira jam 11.39 pagi pada 22 Mei lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 292 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Birr Zamier Abu Bakar mencadangkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Nabil Ashraff Ridzuan memohon jumlah jaminan minimum dengan alasan anak guamnya telah hilang sumber pendapatan selepas banyak kontrak ditamatkan susulan kes mahkamah itu.

“Selain menyara ibu bapa serta empat adik-beradik, anak guam saya juga menjaga datuk dan nenek yang uzur, manakala bapanya hanya bekerja di kilang. Dia turut mengalami masalah saraf akibat kemalangan sebelum ini,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Kes akan disebut semula pada 30 September depan.

Dalam perkembangan berkaitan, semalam Muhamad Iqbal turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang atas pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 13 tahun pada Mei lalu.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

BBerkaitan

Latest articles