Cemburu Isteri Curang Punca Lelaki Tikam Rakan Serumah 21 Kali Sebelum Gantung Diri

DURIAN TUNGGAL: Cemburu buta dipercayai menjadi punca tragedi berdarah apabila seorang lelaki warga Bangladesh bertindak membunuh rakan serumahnya sebelum menggantung diri dalam kejadian kejam di Taman Cempaka 2, malam tadi.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian berlaku sekitar jam 7 malam dan hanya terbongkar selepas seorang lagi rakan serumah pulang dan menemui kedua-duanya tidak bernyawa.

Mangsa, 42, ditemukan terbaring berlumuran darah di dapur, manakala suspek, 31, ditemui tergantung pada kipas siling dalam bilik berkunci.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai cemburu selepas mengetahui isterinya, warga Indonesia, menjalinkan hubungan sulit dengan mangsa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin.

Menurut Dzulkhairi, pemeriksaan di lokasi menemukan 21 kesan tikaman dan tetakan pada kepala dan badan mangsa.

Polis turut merampas sebilah parang dan dua bilah pisau yang dipercayai digunakan suspek.

Tiada kesan pecah masuk atau campur tangan pihak luar, sekali gus mengesahkan insiden hanya melibatkan kedua-dua lelaki itu.

Siasatan mendapati isteri suspek telah melarikan diri bersama anak mereka sejak dua minggu lalu namun berjaya dikesan polis.

Mangsa pula mempunyai isteri di Bangladesh.

“Jiran memaklumkan mereka terdengar pertengkaran petang sebelum kejadian, namun keadaan sunyi selepas itu sehinggalah rakan serumah pulang,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (membunuh).

Polis kini sedang melengkapkan kertas siasatan dan akan merakam keterangan isteri suspek bagi membantu siasatan lanjut.

BBerkaitan

Latest articles