Cederakan rakan pelatih, pegawai kadet UPNM didakwa di mahkamah

Seorang pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap juniornya dengan memijak perut mangsa hingga cedera, bulan lalu.

Mohd Adil Awang Ghani membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim.

Mengikut pertuduhan, Adil dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Muhammad Haziq Iqbal dengan memijak perut mangsa dengan menggunakan kasut but ‘spike’.

Kesalahan didakwa dilakukan padang kawad, akademi latihan ketenteraan UPNM pada 10.45 malam, 21 Okt lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut seksyen 323 kanun keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga satu tahun atau didenda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sabri Othman manakala tertuduh diwakili peguam Nurul Diyana Basher dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Noorelynna kemudiannya membenarkan Adil dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan tertuduh tidak mengganggu bakal saksi termasuk mangsa, rakan sekelas dan pegawai UPNM yang akan memberi keterangan nanti.

Beliau menetapkan 10 Feb tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan mangsa yang berusia 19 tahun mengalami keretakan tulang rusuk dan belakang akibat dipijak seorang pelatih tahun tiga UPNM.

Laporan polis kejadian itu hanya dibuat 8 Nov lalu.

Ini kes serangan kedua yang dilapor membabitkan kadet UPNM bulan lalu.

Pada 8 Nov lalu, pegawai kadet UPNM, Amirul Iskandar Norhanizan, 22, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan seorang junior dengan menekap seterika wap di dada kanannya pada 22 Okt lalu.

BBerkaitan

Latest articles