KUALA LUMPUR: Penyanyi rap, Caprice akan dipanggil bagi memberi keterangan berhubung dakwaan fitnah terhadap pendakwah bebas, Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, turut dipanggil adalah wanita Indonesia, Mondy Tattoo yang sebelum ini ditemubual dalam siri Podcast kendalian Caprice, Jumaat lalu.
Kedua-duanya akan dipanggil membantu siasatan dalam masa terdekat.
Tambah Sasikala, pihaknya telah mengambil keterangan pendakwah bebas tersebut semalam ketika membuat aduan.
“Kami sudah dapatkan OTI (order to investigates) untuk jalankan siasatan seterusnya.
“Ya mesti sebab apa-apa saksi berkaitan kes kita perlu rakam percakapan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Menurut beliau, pihaknya akan melengkapkan siasatan sebelum mengemukakan laporan terhadap Timbalan Pendakwa Raya.
Dalam siri Podcast yang disiarkan malam Jumaat lalu, Mondy yang pernah dibantu Ebit mendakwa pendakwah itu melakukan gangguan seksual terhadapnya.
Ebit kemudiannya membuat laporan polis di Daerah Subang Jaya, kelmarin selain mendakwa ia merupakan fitnah jahat terhadapnya.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.