CAP Jangka Kenaikan Harga Sayur Berterusan Sehingga Hari Raya Cina

GEORGE TOWN: Orang ramai digesa untuk menanam sendiri sayur-sayuran bagi mengurangkan beban kenaikan harga barangan, sejak kebelakangan ini.

Gesaan itu dibuat Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) selain menjangkakan beberapa jenis sayur-sayuran dijangka kekal pada harga tinggi sehingga Tahun Baharu Cina nanti.

Pegawai Pendidikannya, NV Subbarow berkata penanaman sayur sendiri di rumah bukan saja menjimatkan kos malah ia memberi manfaat kepada seluruh ahli keluarga untuk menikmati bahan makanan itu tanpa campuran kimia.

“Pengguna tidak memerlukan ruang yang besar untuk menanam sayur-sayuran malah, mereka yang tinggal di bangunan kediaman bertingkat juga boleh mengamalkan taman bandar dengan berkesan selagi dapat memastikan tanaman mendapat cahaya matahari.

“Tumbuhan berbuah seperti bendi, terung, cili dan sayur-sayuran berdaun seperti sawi, kangkung, kalian, bayam dan tanaman saka pudina, pegaga, kesum dan selom boleh ditanam dengan mudah walaupun di balkoni rumah.

“Barangan rumah seperti karton susu, jus dan botol minuman serta bekas kecil boleh digunakan untuk tumbuhan yang mempunyai sistem akar yang lebih kecil seperti sayur-sayuran berdaun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Subbarow berkata, CAP turut mengadakan latihan berkala pertanian bandar bagi mereka yang berminat belajar menanam sayur-sayuran sendiri di rumah.

“Kita menghasilkan baja vermi serta buku panduan berkebun di rumah untuk dijual kepada pengguna yang ingin memulakan aktiviti berkebun.

“Sehubungan itu, orang ramai yang berminat menyertai latihan pertanian semula jadi boleh mendaftar di pejabat CAP atau menghubungi talian 04 829 9511 atau 012 537 4899.“

BBerkaitan

Latest articles