Calon PRN Diingatkan Tidak Guna Isu Kalimah Allah Sebagai Bahan Kempen

KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan calon-calon yang bertanding dalam enam pilihan raya negeri (PRN) tidak mempolitikkan isu kalimah Allah.

Perdana Menteri berkata, peringatan itu selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah baru-baru ini.

Dalam pada itu, Anwar turut menjelaskan titah Sultan Sharafuddin bahawa isu kalimah Allah akan diperkemaskan dalam mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang dipengerusikan baginda akhir bulan ini sebelum dipersembahkan kepada Majlis Raja-raja Melayu.

“Raja-raja Melayu (titah) jangan jadikan isu politik, raja-raja Melayu akan perkemaskan atas cadangan kerajaan Persekutuan.

“Apa Tan Sri Muhyiddin (Yassin) kata? Masih gunakan isu kalimah Allah,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Perpaduan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi di Taman Tuanku Ja’afar, malam tadi.

Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan calon PH bagi kerusi DUN Paroi, Norwani Ahmat.

Isu kalimah Allah kembali hangat diperkatakan selepas Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu ceramah di Kapar, Klang baru-baru ini mendakwa isu kalimah Allah menggambarkan Kerajaan Perpaduan kini diterajui bukan Islam.

Bekas perdana menteri itu menuduh Anwar kini ‘dikuasai’ DAP selepas kerajaan tidak meneruskan rayuan di mahkamah berhubung kes yang sama.

Untuk rekod pada Mei lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bahawa penganut Kristian boleh guna kalimah Allah dan tiga perkataan Arab iaitu Baitullah, kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pendidikan.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada 18 April lalu.

BBerkaitan

Latest articles