Calon PN Selangor Guna Dana Sendiri Selepas Akaun PN Masih Dibekukan

KUALA LUMPUR: Pembekuan akaun Bersatu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan penyelewengan memberi kesan kepada kempen calon Perikatan Nasional (PN) Selangor.

PAS Selangor, menerusi Setiausahanya, Roslan Shahir Mohd Shahir mendakwa calon-calon mereka terpaksa menggunakan sumber kewangan peribadi dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).

Roslan bagaimanapun menambah hal itu tidak membantutkan semangat gabungan berkenaan.

“Memang kewangan menjadi kekangan besar, akaun Bersatu telah dibeku oleh kerajaan entah berapa lama.

“Sepatutnya kalau parti politik nak siasat lama pun…selepas siasat bagilah peluang mereka menguruskan duit mereka.

“Kita dalam bajet yang terhad, PAS antara parti tidak banyak duit tapi kita percaya bukan duit menjadi keutamaan, mana kewangan yang ada kita gerakan,” katanya memetik Astro Awani, dalam satu sidang media PN Selangor di Shah Alam.

Sebelum ini akaun Bersatu telah dibekukan SPRM mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram.

Pembekuan akaun Bersatu ada kaitan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan berbilion ringgit untuk pakej rangsangan Covid-19.

Dalam pada itu Roslan mendakwa gabungan PN boleh menang di Selangor.

“Calon PN tiada kluster mahkamah, tiada kluster yang keluar penjara, semuanya bebas. Kita harapkan rakyat Selangor, kita dah berikan yang terbaik, untuk beri khidmat terbaik kepada rakyat Selangor.

“Berilah kepercayaan dan peluang, ini bukan pertama kali, kita pernah jadi kerajaan negeri sebelum ini, rakyat telah menilai dan ini peluang terbaik untuk rakyat buatkan perubahan bentuk Selangor baharu untuk PN,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles